Zaqwan terpantas di Jempol

Oleh Shaiful Shamsudin 22 Oktober 2016 0
Zaqwan terpantas di Jempol
Md Zaqhwan zaidi mencatat masa terpantas dalam saingan ujian masa CP130 manakala pendahulu keseluruhan, Kasma Daniel Kasmayudin, mengalami masalah mekanikal sekali gus menjejaskan aksinya untuk mencatat masa lebih pantas pada pusingan kesembilan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Jempol, Negeri Sembilan, hari ini.

Pelumba Givi Honda Yuzy Racing itu terlebih dahulu mencatat masa terpantas 45.770 saat pada dua minit terakhir sebelum sesi latihan tamat.

Namun, strategi saat akhir pelumba PETRONAS Yamaha-CKJ, Ahmad Afif Amran, menyaksikan dia berjaya mencatat masa terpantas 45.577 saat. Dia bagaimanapun gagal untuk menghalang Zaqhwan yang sekali lagi mencatat masa terpantas, 45.571 saat pada saat terakhir sesi untuk muncul pelumba pilihan pada sesi kelayakan SuperPole, pagi esok.

Rakan sepasukan Afif, Md Fitri Ashraff Razali muncul pelumba ketiga terpantas dengan masa 45.913 saat sementara pelumba PETRONAS Yamaha Maju Motor, Kasma Daniel masih berupaya untuk melayakkan diri ke sesi Superpole setelah catatan terbaik 46.079 saat meletakkannya sebagai pelumba keenam terpantas sesi ujian masa.

"Keadaan litar pada tahun ini merupakan yang terbaik sepanjang beberapa musim perlumbaan berlangsung di sini dan kami dapat beraksi dengan agak selesa. Kami berterima kasih kepada pihak terbabit yang melakukan persediaan terbaik untuk perlumbaan minggu ini," jelas Zaqhwan.

"Saya gembira dengan aksi pada hari ini. Meskipun sudah penghujung musim, namun saya tetap gembira dengan prestasi dan kemajuan yang dicapai oleh pasukan secara keseluruhan."

Sementara itu, dua daripada empat pencabar utama kejuaraan, Md Akid Aziz dan Md Haziq Fairues (PETRONAS Yamaha Maju Motor), menduduki kelompok tiga pelumba terpantas di mana Akid melakukan catatan terbaik 46.758 saat manakala Haziq dengan catatan 47.044 saat. 

Rakan sepasukan Zaqhwan, Azroy Hakeem Anuar turut mengikut jejak langkah apabila menguasai sesi ujian masa setelah muncul pelumba terpantas CP115, 46.048 saat.

Dalam kategori Wira, Md Helmi Azman (IUGB AFB Tech Racing) muncul pelumba terpantas dengan catatan 48.127 saat, diikuti duo Idemitsu Kozi Yam Honda Racing, Saiful Azhary Muhamad dan pendahulu keseluruhan, Md Shafiq Ezzariq, dengan catatan terbaik masing-masing 48.461 dan 48.438 saat. 

Keputusan Ujian Masa:
CP130

1. Mohd Zaqhwan Zaidi (SGR) Honda 45.521s
2. Ahmad Afif Amran (TRG) Yamaha 45.577s
3. Mohd Fitri Ashraff Razali (KUL) Yamaha 45.913s
4. Norizman Ismail (SGR) Honda 45.981s
5. Md Affendi Rosli (SGR) Yamaha 46.061s

CP115
1. Azroy Hakeem Anuar (KUL) Honda 46.048s
2. Md Akid Aziz (KUL) Yamaha 46.758s
3. Md Haziq Fairues (SGR) Yamaha 47.044s
4. Md Muzakkir Mohamed (SGR) Yamaha 47.060s
5. Md Iqbal Amri Abd Malek ((SGR) Yamaha 47.078s

WIRA
1. Md Helmi Azman (SGR) Yamaha 48.127s
2. Saiful Azhary Muhamad (JHR) Honda 48.461s
3. Md Shafiq Ezzariq (SGR) Honda 48.438s
4. Md Izam Ikmal Izamli (KUL) Yamaha 48.531s
5. Md Amirul Arif Ramlee (JHR) Yamaha 48.552s

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen