Mohd Zaqhwan Zaidi perlu mempamer aksi terbaik bagi memenangi kedua-dua perlumbaan akhir untuk membawa pulang gelaran juara keseluruhan SuperSports 600cc Asia pada pusingan terakhir Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand, 2-4 Disember ini.

Selepas 10 perlumbaan dari lima pusingan lepas, pelumba Musashi Boon Siew Honda Racing itu kini berada di kedudukan kedua keseluruhan dengan 143 mata, tujuh mata di belakang pendahulu dari Jepun, Tomoyoshi Koyama (T-Pro Yuzy Honda NTS With Wow), yang mengumpul 150 mata.

"Tidak ada jalan lain untuk saya menang gelaran SuperSports 600cc. Saya perlu menang kedua-dua perlumbaan (Perlumbaan 1 dan Perlumbaan 2) dan tidak boleh melakukan sebarang kesilapan kerana Koyama mempunyai rekod yang baik di litar Buriram ini," jelas Zaqhwan, yang juga merupakan juara SuperSports 600cc ARRC tahun 2014.

Selain Zaqhwan dan Koyama yang bersaing untuk bergelar juara keseluruhan pada perlumbaan minggu ini, dua pelumba lain turut mengintai peluang untuk bergelar juara keseluruhan termasuk juara bertahan, Yuki Takahashi, yang berada di kedudukan ketiga dengan 128 mata dan seorang lagi pelumba negara, Azlan Shah Kamaruzaman, di kedudukan keempat dengan 116 mata.

"Saingan semakin sukar pada minggu ini. Jika pada tahun 2014, saya dibantu oleh rakan sepasukan, Mohd Zamri Baba namun pada kali ini, rakan sepasukan, Takahashi, juga merupakan musuh saya di litar. Pasukan tidak mengeluarkan sebarang arahan untuk memberi laluan kepada sesiapa, jadi kami perlu memberikan aksi 100 peratus untuk membuktikan siapa yang lebih baik," jelas Zaqhwan.

Tambah pelumba berusia 21 tahun itu lagi, saingan minggu ini juga bertambah sengit dengan kehadiran beberapa pelumba wildcard di grid SuperSports 600cc.

"Beberapa pelumba wildcard yang berpengalaman turut beraksi seperti Hikari Okubo (juara Asia Dream Cup 2012) dan pelumba World SuperSports negara, Zulfahmi Khairuddin selain juara ARRC dan All Japan, Chalermpol Polamai serta Tatsuya Yamaguchi (bekas pelumba Moto2).

"Jika saya sebagai peminat sukan permotoran Asia, saya sendiri berasa teruja untuk menyaksikan perlumbaan ini di televisyen. Di mana lagi boleh kita saksikan pelumba-pelumba terbaik Asia berada di atas litar yang sama? Sudah tentu ia sangat menarik bagi peminat, namun bagi saya sebagai pelumba, sudah tentu perlumbaan sangat mencabar."