Juara dunia tujuh kali MotoGP, Valentino Rossi, menjangkakan sesuatu yang lebih baik daripada jentera Yamaha miliknya jika mahu penunggang dari Itali itu lebih kompetitif musim depan.

Selepas menamatkan kempen 2018 dengan 123 mata di belakang Marc Marquez dalam carta pelumba, Rossi berharap dapat meraih aksi penutup yang positif dalam saingan di Jerez.

Bagaimanapun, pelumbar berusia 39 tahun itu hanya mampu meraih tempat ke-11 terpantas, ketinggalan 0.651 saat berbanding Takaaki Nakagami.

Rakan sepaskannya, Maverick Vinales, jelas lebih baik apabila berada di tangga kedua di belakang Marquez, membuatkan Rossi terdesak untuk meningkatkan prestasi menjelang hari kedua percubaan di Malaysia, Februari depan.

"Ia lebih baik," kata Rossi apabila ditanya mengenai prestasinya.

"Namun, bagi saya, banyak yang kami perlu lakukan jika mahu cuba lebih kompetitif, terutama dengan Ducati dan Honda serta Suzuki.

"Saya berharap Yamaha dapat terus berusaha dan mendapatkan sesuatu yang lebih baik Februari nanti.

"Kami perlu bekerja keras dalam semua aspek kerana telah merana. Dua aksi percubaan di Jerez dan Valencia tidak begitu teruk tetapi kami harus berusaha."

Tatkala Rossi menunggu peningkatan daripada Yamaha, juara dunia, Marquez, gembira dengan prestasi pasukannya, Repsol Honda.

"Sesetengah kemas kini sangat bagus dan yang lain adalah normal," ujar Marquez.

"Kami meningkatkan aspek enjin tetapi turut berusaha keras untuk bahagian lain. Kami memiliki banyak maklumat untuk dianalisis.

"Akhirnya, saya menggunakan tayar lembut buat pertama kali dan kami meraih selekoh yang baik walaupun ia bukan keutamaan kami.

"Kami gembira dengan ujian dan kini tiba masa untuk berehat!"