Pasukan Formula Satu (F1) Williams bakal dijual selepas syarikat pemiliknya mengumumkan kerugian kewangan pada 2019.

Semalam, pihak Williams Grand Prix Holdings group (WGPH) mendedahkan maklumat kewangan tahunan mereka, mengesahkan kerugian susulan prestasi buruk di atas litar oleh pasukan yang menamatkan kedudukan kempen 2019 dan 2019 di tangga terburuk.

Selepas mengumumkan keuntungan bernilai GBP12.9 juta (RM69.6 juta) yang diraih sebelum pengiraan faedah, cukai, kerugian dan pelunasan (EBITDA) pada 2018, WGPH melaporkan kerugian bernilai GBP13 juta (RM69.7 juta) bagi tahun 2019 dan kini mencari pelabur baru termasuk menawarkan kuasa pegang taruh yang besar dan kecil dalam pasukan.

Namun, kadar jualan akan dipertimbangkan tatkala pasukan menunggu permulaan kempen 2020 yang masih ditangguhkan akibat coronavirus.

"Pengurusan WGPH telah menilai beberapa strategi yang ada untuk syarikat," kata wakil badan itu.

"Pilihan yang dipertimbangkan adalah termasuk meningkatkan modal dalam perniagaan, penambahan pemegang taruh dalam WGPH atau pelupusan pemegang taruh termasuk potensi jualan syarikat.

"Memandangkan tiada keputusan diraih walaupun dalam beberapa siri perbincangan dengan pihak lain, syarikat mengumumkan penilaian untuk proses penjualan secara sah."