Vettel patut pilih untuk bersara -- Jackie Stewart

Oleh Ammar Hakim 18 Oktober 2020 329
Vettel patut pilih untuk bersara -- Jackie Stewart
Sebastian Vettel seharusnya mengambil keputusan untuk bersara daripada Formula Satu berbanding terus berlumba, menurut juara tiga kali, Jackie Stewart.

Selepas Ferrari dan Vettel memilih untuk tidak melanjutkan persetujuan selepas musim ini, pelumba berusia 33 tahun itu mengambil keputusan untuk menyertai pasukan Aston Martin bermula 2021.

Juara empat kali itu bergelut untuk mencabar gelaran sejak menyertai The Scuderia pada 2015, memenangi hanya 14 perlumbaan dalam era yang didominasi Mercedes.

Vettel mengakui sebelum menandatangani dengan Aston Martin bahawa bersara adalah pilihan yang sedang dipertimbangkan, dan Stewart berasakan meninggalkan F1 pasti menjadi pilihan yang baik.

Stewart berkata, "Sebastian Vettel seorang lelaku budiman. Dia mempunyai kerjaya yang luar biasa dan saya secara peribadi ingin melihatnya bersara dan melakukan apa yang saya lakukan.

"Pergi ke beberapa acara terbaik, melibatkan diri dengan beberapa syarikat multinasional terbaik. Dia akan menjadi duta besar sukan ini. Tetapi jika dia mahu terus berlumba, itu kerana dia amat menggemari sukan ini."
 
Vettel hanya meraih 17 mata bagi musim 2020, dengan Charles Leclerc sekadar meraih dua podium.

The Scuderia di tangga keenam dalam kedudukan kejohanan jentera dan Stewart berharap kesengsaraan mereka tahun ini bukan tanda penurunan bagi jangka masa panjang.

"Ferrari adalah salah satu jenama hebat yang pernah wujud. Apa pun alasannya, tahun ini telah menjadi bencana bagi mereka. Saya berharap dan berdoa agar tahun depan kita dapat melihat Ferrari sebagaimana mereka berada seperti sebelum ini."

Juara bertahan, Lewis Hamilton, menyamai rekod 91 kemenangan yang disandang Michael Schumacher di Nurburgring dan dijangka melintasinya dii Grand Prix Portugal minggu hadapan.
 

Tentang Penulis

Ammar Hakim

Komen