Vettel kekal pemandu utama Ferrari

Oleh Staff Writer 12 Februari 2020 148
Vettel kekal pemandu utama Ferrari
Sebastian Vettel masih pemandu utama Ferrari biarpun terdapat spekulasi yang menyatakan bintang Mercedes, Lewis Hamilton, akan menggantikannya, kata prinsipal pasukan itu, Mattia Binotto.

Vettel, yang kontraknya akan tamat pada penghujung tahun ini, ditenggelami oleh prestasi cemerlang rakan sepasukannya, Charles Leclerc, ketika Hamilton meraih kejuaraan dunia Formula Satu keenamnya tahun lalu.

Hamilton juga sudah memasuki tahun terakhir kontraknya bersama Mercedes tetapi Binotto percaya Vettel masih menjadi taruhan terbaik pasukannya.

"Seb merupakan pilihan utama kami buat masa ini," katanya dalam majlis pengenalan jentera baru Ferrari malam tadi.

"Amat jelas, kami sedang berbincang dengannya dan akan terus membincangkannya tetapi buat masa ini, dia merupakan pilihan utama kami."

Vettel, yang juga juara dunia empat kali, menamatkan musim lalu di tangga kelima, satu anak tangga di bawah Leclerc.

Ditanya sama ada Hamilton akan dipilih jika Vettel meninggalkan pasukan itu, Binotto menambah: "Kami fokus kepada pemandu kami dan kami menganggap Seb sebagai pilihan utama buat ketika ini."




Editor: Muzaffar Musa

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen