Sebastian Vettel mengakui Lewis Hamilton telah menjadi pemandu yang lebih baik sepanjang musim ini selepas pemandu Mercedes itu memenangi gelaran kelima, awal pagi tadi.

Hamilton menduduki tempat keempat dalam Grand Prix (GP) Mexico, namun itu sudah cukup untuk mengetepikan pencabar terdekat, Vettel, dalam pemburuan gelaran dengan dua baki perlumbaan.

Vettel memerlukan kemenangan bagi menyalakan peluangnya untuk menggugat kejuaraan Hamilton, namun terpaksa berpuas hati menamatkan perlumbaan di tempat kedua di belakang Max Verstappen.

Keputusan itu menyaksikan pemandu Britain itu menyamaikan rekod Juan Manuel Fangio manakala Michael Schumacher merupakan pemandu paling berjaya dengan tujuh kejuaraan.

Pemandu Ferrari, Vettel, yang memenangi empat gelaran di antara musim 2010 dan 2013, turut memburu penghormatan yang sama, kesal dengan kesilapan yang dibuat sebelum ini.

"Saya mengucapkan tahniah kepadanya (Hamilton)," kata Vettel seperti dipetik daripada Sky Sports.

"Dia memandu dengan hebat sepanjang tahun ini dan lebih baik berbanding kami berdua.

"Angka lima adalah sesuatu yang luar biasa. Saya mengucapkan tahniah kepadanya dengan memintanya untuk terus berjuang tahun depan dan kami akan berentap lagi."

Vettel menambah: "Kami menerima hakikat ini dan ucapkan tahniah. Saya lebih gemar untuk terus memberikan saingan tetapi ia tidak menjadi.

"Buat masa ini, saya tidak mahu (bercakap tentang kegagalan meraih gelaran), izinkan saya ucapkan tahniah."