Verstappen ungguli GP Sepang

Oleh Penulis Jemputan 1 Oktober 2017 455
Verstappen ungguli GP Sepang
Pemandu Red Bull, Max Verstappen, meraih kemenangan dominan dalam perlumbaan Formula Satu Grand Prix (GP) Malaysia di Sepang sambil pelumba Mercedes, Lewis Hamilton, melebarkan pendahuluan kejuaraan dunia dengan menduduki tempat kedua.

Perlumbaan terakhir GP Malaysia di Sepang itu menyaksikan pencabar Hamilton, Sebastian Vettel, bangkit daripada permulaan tercorot sebelum menamatkan saingan di tempat keempat bersama jentera Ferrari untuk terus menghambat Hamilton.

Bagaimanapun, pemandu dari Jerman itu kini ketinggalan 34 mata di belakang Hamilton dengan baki lima perlumbaan untuk ditamatkan.

Hamilton gagal menyaingi Verstappen yang merebut pendahuluan seawal pusingan keempat tetapi mampu tersenyum dengan tempat kedua dan menjarakkan diri dengan Vettel selepas melalui minggu sukar bersama Mercedes.

Verstappen, yang mengharungi musim sukar pada tahun ini selepas beberapa keputusan cemerlang dimusnahkan akibat masalah ketahanan jentera serta kesilapan pemandu, berjaya mendominasi sepenuhnya aksi di Sepang.

Vettel pula memberi saingan sengit hingga satu ketika pasukan Mercedes terpaksa memberi amaran kepada Hamilton bahawa pemandu Ferrari itu mampu mengundang bahaya di akhir perlumbaan tetapi jelas sekali Vettel tidak mampu mencabar kedudukan teratas.

“Saya rasa Hamilton memberikan saingan sengit sejak dari awal perlumbaan dan saya hanya boleh berusaha untuk cuba mempamerkan prestasi terbaik.

"Saya akui masih berada di belakang Hamilton dalam kedudukan keseluruhan, namun sesuatu yang bagus apabila dapat memenangi perlumbaan pada hari ini,” kata Verstappen.

“Perlumbaan pada hari ini amat sengit tetapi kami menikmati perlumbaan di litar paling sukar,” ujar Hamilton.

Turut melengkapkan podium adalah seorang lagi pelumba Red Bull, Daniel Ricciardo.
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen