Fernando Alonso menegaskan bahawa jam randik adalah satu-satunya perkara yang penting dan tidak mempunyai kebimbangan mengenai usianya ketika dia membuat persiapan untuk kembali ke Formula Satu (F1) bersama Renault.

Pengesahan juara dunia dua kali itu yang menyertai Renault telah disahkan semalam, dengan laporan menunjukkan bahawa dia bersetuju memeterai perjanjian selama dua tahun.

Ini bermakna, Alonso, yang berusia 39 tahun bulan ini, akan berusia 41 tahun pada musim 2022, tahun pertama F1 membawa peraturan baru yang diharapkan pelumba kelahiran Sepanyol itu akan menghasilkan persaingan yang lebih setara.

Alonso bagaimanapun menjelaskan bahawa dirinya cergas dan bersedia seperti sebelum ini.

"Jam randik adalah satu-satunya perkara yang penting, bukan usia," katanya kepada wartawan.

"Saya tidak pernah mendapat klasifikasi perlumbaan berdasarkan pasport, tarikh lahir saya. Ia selalu dinilai menerusi jam randik.

"Saya berasakan sudah bersedia dan saya berasakan 100 peratus mampu cemerlang daripada segi pemanduan. Saya melakukan beberapa ujian kecergasan 15 hari yang lalu dan saya mendapat antara keputusan terbaik dalam karier saya.

"Saya sangat bermotivasi, bahagia dan lebih kuat daripada sebelumnya."

Peratuan baru F1 pada asalnya dijadualkan diguna pakai pada musim 2021 tetapi telah dianjak ke tahun 2022 kerana pandemik koronavirus.

"Niat asal saya adalah untuk bersara pada tahun 2018 dan melihat bagaimana kehidupan berada di luar tetapi saya telah berfikir tentang peraturan 2021, "kata Alonso.

"Ia telah ditangguh setahun lagi ekoran Covid-19 tetapi saya berasakan masih relevan untuk terus kekal dalam sukan ini pada 2021 sebagai persediaan selepas dua tahun tidak memandu dalam jentera ini, menghasilkan tetapan terbaik dan mengharungi musim dengan cemerlang.

"Saya berasakan hanya satu pasukan akan menang bagi tahun 2020 -- dan mungkin pada tahun 2021 -- tetapi saya berasakan peraturan 2022 diharap akan memberikan kesaksamaan dalam sukan ini."