TKKR SAG: Bukan mudah serap Hafizh Syahrin

Oleh Muzaffar Musa 31 Ogos 2020 6835
TKKR SAG: Bukan mudah serap Hafizh Syahrin
Usaha dan keinginan semata-mata belum cukup untuk membawa bekas pelumba kelas perdana MotoGP, Hafizh Syahrin Abdullah, menyertai ONE XOX TKKR SAG Racing Team.

Prinsipal pasukan itu, Bobby Farid Shamsuddin, dalam satu temubual Nadi Arena, mengakui realiti itu berdasarkan kedudukan kewangan pasukannya yang masih belum sempurna.

"Saya tidak mahu meletakkan Hafizh di tempat yang sama bermakna jika saya bawa masuk Hafizh, dia perlu diberikan segala-galanya.

"Kerana dia sudah lebih lima tahun berada dalam Moto2 dan tidak sepatutnya dia berada dalam situasi yang sama. 

"Kalau kami tidak bersedia untuk memberikannya benda-benda yang sepatutnya dia dapat, ia merupakan satu risiko untuk kariernya.

"Sehingga ke saat ini, kami tidak mempunyai kemampuan kewangan yang bagus untuk Hafizh.

"Sebagai orang Malaysia, sebagai pasukan separuh Malaysia, kami memang mahukan pelumba Malaysia dalam saingan MotoGP dan amat jelas, Hafizh merupakan seorang yang sesuai dengan posisi itu.

"Pihak lain perlu melihat apa yang Hafizh telah lakukan selama ini dan mereka perlu memberikan sokongan untuk dia meneruskan usahanya dalam MotoGP," katanya.

Walaupun terdapat impian peminat untuk melihat Bobby Farid membantu karier Hafizh Syahrin, itulah realiti yang perlu ditelan TKKR SAG berhubung minat mereka mengambil pelumba negara berkenaan bagi saingan musim depan.

Disebabkan pandemik COVID-19, TKKR SAG hanya mampu mengeluarkan separuh daripada dana biasa bagi menampung pelumba mereka, Kasma Daniel Kasmayudin, musim ini.

Bagaimanapun, di sebalik kesukaran itu, keinginan mereka untuk mendapatkan Hafizh Shahrin adalah disebabkan kredibiliti pelumba itu sendiri.

"Jika dibandingkan pelumba kita (Malaysia) dengan Eropah, memang jauh tertinggal tetapi apa yang menarik, Zulfahmi (Khairuddin) pernah mendapatkan kedudukan podium, (Khairul Idham) Pawi pernah podium, Hafizh Syahrin pernah podium.

"Dengan keadaan seperti itu pun mereka masih mampu bersaing.

"Walaupun mungkin pencapaian mereka itu hanya tiba sekali atau dua kali, kita masih dapat melihat bahawa pelumba Malaysia boleh bersaing dengan pelumba Eropah.

"Itu merupakan kebanggan kita sebagai rakyat Malaysia.

"Dalam keadaan daif, kita mampu bersaing di peringkat dunia. Itu yang membuatkan saya amat tertarik," katanya lagi.

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen