Prinsipal Pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing (SRT), Datuk Razlan Razali, akan membuat permohonan keseluruhan pelumba negara menyertai Kejohanan Dunia MotoGP bulan depan biarpun kesemua mereka berlainan pasukan.

Kalendar perlumbaan MotoGP telah pun dirombak dengan Litar Jerez akan menjadi destinasi pertama selepas ia tertangguh gara-gara penularan wabak Covid-19.

Pihak Yamaha SRT sudah pun memulakan siri perbincangan bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk mengusulkan permohonan ke luar negara, susulan pengumuman Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri, yang menjelaskan Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan menimbang jika terdapat permohonanan di sebalik pintu sempadan negara ditutup ketika ini.

"Saya dan pelumba negara yang perlu ke Eropah bagi menghadapi saingan MotoGP, kami telah membuat permohonan dan kami yakin dapat meraih kebenaran untuk ke luar negara," kata Razlan.

Keseluruhannya, ia akan melibatkan tiga pelumba negara, Hafizh Syahrin yang beraksi bersama Aspar Racing dan Kasma Daniel yang mewakili TKKR SAG di kelas Moto2, Khairul Idham Pawi beraksi untuk Petronas Sprinta Racing di Moto3, termasuk tujuh kru dan pegawai Yamaha SRT.