'The Doctor' hampir pasti sertai Petronas Yamaha SRT

Oleh Bernama 16 Julai 2020 440
'The Doctor' hampir pasti sertai Petronas Yamaha SRT
Juara dunia MotoGP tujuh kali, Valentino Rossi, dari Itali hampir pasti menyertai pasukan satelit Yamaha, Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT) musim depan.

Pelumba Monster Energy Yamaha, yang dikenali dengan gelaran ‘The Doctor’, menyatakan bahawa kedua-dua pihak masih menyelesaikan beberapa isu sebelum perjanjian itu dimuktamadkan tidak lama lagi. 

"Berita yang saya sudah tandatangani (perjanjian) adalah tidak benar, tetapi kami hampir bersetuju dengan kontrak itu. Saya mahu terus berlumba. Sudah 99 peratus pasti bahawa saya akan bersama pasukan Petronas pada tahun 2021," kata pelumba berusia 41 tahun di laman web rasmi MotoGP, www.motogp.com.

Rossi dijangka akan bertukar tempat dengan pelumba Petronas Yamaha SRT, Fabio Quartararo yang menandatangani kontrak dua tahun dengan Monster Energy Yamaha sehingga 2022, awal tahun ini.

Rakan sepasukan Quartararo ketika ini, Franco Morbidelli baru-baru ini melanjutkan kontraknya sehingga 2022 dengan pasukan berpangkalan di Malaysia.

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen