Terlalu awal Khairul Idham beralih ke Moto2 -- Razlan

Oleh Shaiful Shamsudin 11 November 2016 0
Terlalu awal Khairul Idham beralih ke Moto2 -- Razlan
Pengumuman pasukan Honda Asia mengenai status pelumba Moto3 negara, Khairul Idham Pawi, yang akan beralih ke kelas Moto2 musim hadapan, dianggap terlalu awal. 

Honda Asia semalam mengumumkan Khairul Idham akan beralih ke kelas Moto2 musim hadapan bersama rakan sepasukan, Takaaki Nakagami. 

Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali, secara peribadi berasakan terlalu awal untuk menaikkan Khairul Idham yang mesra disapa Keon itu ke kategori yang lebih tinggi memandangkan usianya yang masih lagi muda. 

Berbekalkan pengalaman setahun dalam Moto3, Razlan melihat Keon seharusnya kekal dalam kategori itu untuk meraih pengalaman yang mencukupi sebelum berhijrah ke kategori Moto2. 

"Secara peribadi, saya berpendapat peralihan itu terlalu awal. Sepatutnya dia dikekalkan dalam saingan Moto3 untuk mencabar gelaran. 

"Khairul Idham seorang penunggang yang laju tapi untuk beralih ke Moto2 mungkin terlalu awal buatnya," katanya. 

Pada masa yang sama, Razlan juga menegaskan pelumba SIC Racing Team yang juga pelumba Moto3 negara, Adam Norrodin, akan kekal dalam kelas itu musim hadapan. 

Meskipun musim pertama Adam tidak segemilang Khairul Idham, Razlan berasakan Adam masih memiliki potensi untuk menjadi pelumba kebanggaan negara berdasarkan prestasinya dalam pasukan ketika ini. 

"Kami mengekalkan Adam dalam saingan Moto3, kami masih percaya dia masih dalam proses pembelajaran. 

"Kami harap pada tahun kedua nanti, dia akan berada di kedudukan yang lebih baik. 

"Sasaran kami agar dia memungut mata dalam setiap perlumbaan."

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen