Tengku Amirul Haffirudin mahu mengakhiri kemarau podium kategori CP115 dalam perlumbaan pusingan kedua terakhir Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS musim 2016 di Jempol, Negeri Sembilan, esok dan Ahad ini.

Pada permulaan musim, pelumba Motul Zeneos Yamaha YY Pang itu dilihat sebagai pelumba pilihan untuk memenangi gelaran keseluruhan setelah memperaga aksi cemerlang dengan mencatat dua kemenangan dan satu naib juara dalam tiga perlumbaan pertama, namun prestasinya sedikit merudum sebaik rehat pada pertengahan musim.

Meskipun menerima hukuman ditolak 25 mata kejuaraan pada pusingan keempat di Kelantan, pelumba berusia 20 tahun itu berjaya meraih podium pada pusingan berikutnya.

Namun, kedudukannya terjejas setelah gagal memungut mata pada pusingan keenam dan terjatuh pada perlumbaan pusingan kelapan di Temerloh bulan lepas, sekali gus terlepas gelaran pendahulu keseluruhan kepada Mohd Akid Aziz.

"Mungkin ada yang menganggap penalti yang saya terima menyebabkan tumpuan saya mula terjejas, namun ia hanya kebetulan.

"Insiden itu menjadi pengajaran untuk saya lebih berhati-hati tetapi bukan penyebab kepada penurunan prestasi saya memandangkan kejadian itu berlaku pada peringkat awal musim.

"Cuma mungkin nasib saya tidak begitu baik pada beberapa pusingan lepas sehingga terlepas kedudukan pendahulu," jelas Tengku Amirul.

"Pasukan saya sentiasa melakukan persediaan secukupnya. Kami hadir ke setiap pusingan dengan keadaan jentera yang cukup sempurna, namun masalah mula melanda sebaik kami keluar ke litar. Saya seringkali berhadapan masalah untuk mendapatkan pelarasan yang sesuai mengikut keadaan litar."

Kegagalan meraih sebarang podium sejak pusingan keenam menyaksikan Tengku Amirul kini jatuh ke tangga kedua keseluruhan dengan mengumpul 100 mata, enam mata di belakang Akid sambil Mohd Fairues mengekori dengan 92 mata dan Ahmad Syukran Aizat di tangga keempat dengan 83 mata.

"Masih ada baki dua pusingan perlumbaan dan saya akui keadaan sekarang agak tertekan. Saya kehilangan banyak mata dan ia sangat merugikan.

"Ketika ini, saya berhadapan dua pencabar hebat dan saya perlu menamatkan perlumbaan di depan duo Maju Motor, Akid dan Haziq di Jempol, minggu ini dan perlumbaan terakhir di Taiping, bulan depan.

"Bukan saya sahaja dalam keadaan tertekan. Pasukan juga terpaksa bekerja keras untuk menyiapkan jentera dan saya yakin mereka dapat menyediakan yang terbaik kepada saya minggu ini. Dengan persediaan secukupnya kami sepasukan, saya yakin dapat memberikan saingan dan kembali ke podium."