Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, menggesa syarikat korporat agar tampil membantu pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah, bagi menghadapi musim baru.

Syed Saddiq meminta isu yang membelenggu pengurusan Petronas dan pihak Hafizh Shahrin sebelum ini diletakkan ke tepi.

Ia membawa pesanan yang tidak baik buat masyarakat Malaysia tatkala pelumba berumur 26 tahun itu dianggap sebagai ikon terbaik dalam sukan permotoran negara ketika ini.

Bantuan buat pelumba itu sepatutnya menjadi keutamaan memandangkan Hafizh Syahrin memiliki reputasi cemerlang untuk menyerlah di pentas dunia.

"Tidak akanlah syarikat-syarikat di luar sana tidak boleh membantu.

"Saya sudah berjumpa dengan pihak Petronas boleh membantu. Bukan sekali dua saya telah bertemu dengan mereka.

"Mereka harus mengetepikan hubungan keruh dengan Hafizh Syahrin.

"Apakah mesej yang kami mahu hantar di luar sana sekiranya reputasi besar seperti Hafizh Syahrin sekalipun tidak mendapat sumbangan Petronas yang merupakan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) berharga negara," katanya hari ini.

Dalam masa yang sama, pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan tampil membantu pelumba pasukan Angel Nieto itu selain akan membawa isu berkenaan ke Kabinet bagi mendapat perhatian pihak tertinggi negara.

"Saya akan berjumpa dengan Petronas sebelum saya membawa perkara ini kepada Perdana Menteri untuk isu ini dibawa ke Kabinet," ujarnya.




Editor: Shaiful Shamsudin