Setelah mendominasi pusingan keempat dalam perlumbaan malam di Singapura, minggu lalu, pelumba Jerman, Jan Deitenbach, meneruskan prestasinya itu di Kuala Lumpur setelah menyambar petak utama dalam sesi kelayakan dan shootout SuperChrono bagi perlumbaan sebenar, hari ini.

Bakal menduduki petak kedua dan ketiga untuk perlumbaan Moto1 dan Moto2 adalah pesaing utama kejuaraan musim 2018, Lewis Cornish (United Kingdom) dan Simon Vilhelmsen (Denmark).

Pelumba Negara, Muhamad Habibullah Saleh (Gabit), turut menyerlah dalam sesi SuperChrono selepas berjaya memastikan petak keempat di hadapan pelumba Jepun, Makoto Arai.

Berlangsung di Dataran Merdeka, pusingan kelima kejuaraan itu telah dipendekkan kepada dua hari dengan aksi hari pertama merangkumi dua sesi latihan bebas dan sesi latihan bermasa sebelum sesi kelayakan dan shootout SuperChrono berlangsung pada sebelah petang.

Walaupun Cornish mendahului pelumba lain semasa sesi latihan bebas, Deitenbach bangkit mendominasi sesi latihan bermasa.

Dalam sesi shootout SuperChrono, Deitenbach berjaya melakukan catatan masa 36.019 saat.

Catatan itu menyaksikan pelumba kelahiran Dortmund itu meraih petak utama sejak melakukan perkara sama dalam perlumbaan di Singapura, minggu lalu

"Saya amat gembira kerana berjaya menyambar petak utama bagi perlumbaan esok (hari ini), lebih-lebih lagi di litar unik dan bersejarah seperti itu.

"Ini merupakan kali kedua saya mendapat kedudukan utama dalam dua perlumbaan pertama kejohanan ini.

"Namun, apa sahaja boleh berlaku dalam perlumbaan nanti.

"Saya perlu mendapatkan permulaan baik untuk memenangi perlumbaan," katanya

Selaku pelumba terbaik Asia dalam sesi semalam, Gabit pula mengakui masih terdapat beberapa aspek yang perlu diberikan perhatian oleh pasukannya.

“Saya tidak berapa gembira dengan prestasi saya semasa sesi kelayakan tetapi kami telah berjaya membuat beberapa perubahan pada jentera saya dan berjaya mendapat masa yang lebih baik sewaktu sesi SuperChrono.

"Saya berharap untuk tampil lebih konsisten dan mencuba lebih baik dalam perlumbaan sebenar nanti," katanya.

Turut beraksi dalam perlumbaan kali ini ialah bekas juara dunia Kejohanan Superbike Dunia (WSBK), Troy Corser, yang juga duta kepada kejuaraan FIM SuperMoto Asia.

Dia akan beraksi dalam kategori SuperMoto Veteran, yang merupakan antara perlumbaan sokongan dalam pusingan kelima itu.