Syarat pemberian 'Green Pass' atau kad akreditasi akan diperketatkan dalam perlumbaan Grand Prix (GP) Malaysia musim depan.

Ia berikutan insiden kecurian melibatkan beberapa pasukan dalam GP Malaysia minggu lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali, berkata pihaknya berkemungkinan besar akan mengkaji semula pemberian pas akses ke paddock yang dikeluarkan pemegang hak penganjuran MotoGP, Dorna.

"Mungkin kami akan kaji balik mereka yang mendapat pas paddock itu kerana GP Malaysia menerima banyak peruntukan daripada Dorna. Kami kena lebih teliti.

"Kami kena memantau semua pas yang dikeluarkan, tidak kira untuk pekerja atau tetamu, kerana daripada segi syarat akses memang ketat," katanya kepada media ketika ditemui dalam sidang media Hi-Rev Dream Chaser bersama Hafizh Syahrin hari ini.

Razlan turut menegaskan bahawa sistem keselamatan menggunakan imbasan ke atas kad akreditasi dalam perlumbaan GP Malaysia adalah setanding dengan penganjuran di Eropah.

Malah, pihak SIC tidak sekadar menggunakan syarikat keselamatan tempatan, sebaliknya turut menggunakan syarikat keselamatan dari Austria.

"Bagi saya, untuk masuk ke paddock sudah cukup daripada segi keselamatannya. Tidak mudah untuk masuk ke paddock sebab kami ada menggunakan sistem ‘paddock scanning’ yang digunakan di Eropah," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengalu-alukan sebarang cadangan yang lebih baik untuk memastikan penganjuran GP Malaysia musim depan berjalan lancar tanpa sebarang insiden yang memalukan.

Untuk rekod, insiden kecurian melibatkan beberapa pasukan itu dipercayai berlaku pada awal pagi Jumaat, di antara jam 1 hingga 5 pagi, dalam keadaan hujan lebat.

Antara pasukan yang paling terkesan dengan insiden tersebut ialah pasukan Angel Nieto, yang menyaksikan beberapa alat ganti seperti tayar depan, set lengkap penyerap hentak dan brek bagi jentera kelas Moto2 dan Moto3 dicuri.

Mengulas lanjut, Razlan berkata pihaknya secara rasmi telah menulis permohonan maaf kepada pasukan terlibat, Dorna dan Perlumbaan Jalan Raya Antarabangsa (IRTA), berhubung insiden berkenaan.

-- BERNAMA