Pelumba empat roda negara, Jazeman Jaafar, teruja bakal menerima dua rakan sepasukan baru, iaitu Weiron Tan dan Afiq Ikhwan Yazid, dalam misi memburu podium buat kali kedua dalam pusingan ketiga Siri Le Mans Asia 2017/2018 di Buriram, Thailand, dan Litar Antarabangsa Sepang (SIC), bermula bulan depan.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali, mengesahkan dua pelumba, Weiron dan Afiq, bakal bergandingan bersama Jazeman dalam pasukan Jackie Chan DC Racing X Jota, tahun depan.

Semestinya ia satu harapan baru buat Jazeman bersama dua rakannya itu untuk mempertaruhkan aksi terbaik dalam pusingan ketiga di Buriram (11 Januari) manakala perlumbaan di Sepang akan berlangsung dari 2 hingga 4 Februari.

Kejayaan meraih tempat ketiga dalam penampilan sulungnya ketika pusingan kedua di Fuji, Jepun, pada 3 Disember lalu menjadi penanda aras buat Jazeman mempersiapkan diri dengan lebih rapi.

"Ia kancah yang amat berbeza sama sekali. Dalam perlumbaan 'endurance', anda perlu mengambil kira penggunaan tayar, minyak dan ia satu perlumbaan menarik dengan cara tersendiri.

"Saya harap pertandingan ini mampu mengangkat kami ke peringkat yang lebih tinggi," katanya.

Weiron dan Afiq sememangnya menyambut baik peluang itu dan tidak keterlaluan untuk meletak sasaran realistik bersama Jazeman meraih podium di dua litar terbabit.

"Pelumba-pelumba semakin saling mengenali. Adalah penting untuk mewujudkan hubungan seperti adik-beradik dalam kalangan pelumba, ia cara terbaik untuk berlumba dengan baik," kata Weiron.

Sementara itu, Afiq berdepan cabaran tersendiri dengan berkata: "Ini satu peralihan besar dari segi jentera, namun saya tidak mempunyai masalah mengenainya."

Razlan meletakkan kepercayaan tinggi kepada dua pelumba itu untuk berdiri setaraf dengan Jazeman yang telah membuktikan kemampuan di Fuji tempoh hari.

"Ini adalah langkah pertama dalam cita-cita kami untuk berlumba dalam saingan 24 jam Le Mans yang merupakan perlumbaan 'endurance' paling berprestij di dunia," kata Razlan.