SIC akur jika GP Malaysia berlangsung secara tertutup

Oleh Muzaffar Musa 21 April 2020 38
SIC akur jika GP Malaysia berlangsung secara tertutup
Litar Antarabangsa Sepang (SIC) akur jika Kejohanan MotoGP di venue itu terpaksa berlangsung dalam suasana tertutup demi menitikberatkan keselamatan semua yang terlibat daripada pandemik Covid-19.  

Perkara itu disuarakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif, yang menjamin pihaknya memiliki pelan sokongan bagi melangsungkan GP Malaysia musim ini.

SIC juga sedia menerima baik sebarang keputusan dan garis panduan yang akan dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Sememangnya ia akan mendatangkan impak yang besar kerana dilangsungkan tanpa kehadiran peminat," katanya dalam satu perbualan video bersama wartawan Nadi Arena, Halizah Hamzah.

"Sebagaimana yang kita tahu, peminatlah yang membuatkan MotoGP sangat berjaya.

"Namun, kesihatan dan keselamatan peminat dan setiap pasukan MotoGP tetap menjadi keutamaan.

"Dan kita boleh melihat acara MotoGP secara tertutup ini sebagai satu usaha untuk meneruskan semangat perlumbaan ini, sekaligus membantu pasukan dan pelumba negara untuk beraksi di peringkat antarabangsa," katanya.

Dalam masa sama, Azhan Shafriman, yang baru sahaja dilantik memegang jawatan itu minggu lalu, turut berkongsi misi jangka masa pendeknya untuk menjadikan SIC sebagai salah satu hub sukan dan pendidikan yang menghiburkan.

Ia termasuk dengan menganjurkan lebih banyak kejohanan melibatkan sukan dua roda dan empat roda, termasuk dalam saingan e-sukan.

"Fokus kami buat masa ini adalah tertumpu kepada MotoGP dan perlumbaan nasional seperti MCS, MSBK dan S1K.

"Namun, dalam situasi ini, SIC turut akan melihat kepada alternatif lain seperti mengadakan kejohanan dalam format maya dan e-sukan," tambahnya.

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen