Pengurus Idemitsu Honda Yuzy Racing, Shahrol Yuzy, bengang apabila terpaksa menanggung kerugian hampir RM30,000 akibat peningkatan kes COVID-19 di seluruh negara.

Perkembangan semasa memaksa pusingan kelima Kejohanan Motosikal Cub Prix yang sepatutnya berlangsung hujung minggu ini ditunda.

Pada mulanya, perlumbaan di Litar Tangkak, Johor, itu mahu dipindahkan ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC), sebelum pihak penganjur, Two Wheel Motorsport, membuat keputusan drastik dengan menundanya ke suatu tarikh yang bakal diumumkan kelak.

Ia dipercayai berkait rapat dengan peningkatan kes COVID-19 yang semakin meningkat saban hari.

Yuzy akur dengan keputusan itu, namun kecewa memandangkan komuniti sukan permotoran Cub Prix sudah mengikuti segala prosedur kesihatan yang ditetapkan kerajaan.

"Kalau ada pihak yang mahu memikirkan (kesannya dan bertanggungjawab), perkara ini (peningkatan kes) tidak akan jadi.

"Rakyat Malaysia dan komuniti Cub Prix sudah mengikut arahan (mematuhi prosedur operasi stadard).

"Bahkan kakitangan yang demam akan dihalau balik, kami tidak benarkan datang (bertugas).

"Sebagai ketua pasukan, saya berasa terkilan kerana kami tidak dapat berlumba," katanya ketika dihubungi wakil Nadi Arena, Adam Karim.

⚠️Pengumuman⚠️ PUSINGAN 5 KEJUARAAN CUB PRIX MALAYSIA PETRONAS DITUNDA Safe Aim Mutual Sdn Bhd, selaku penganjur...

Posted by Malaysian Cub Prix on Tuesday, October 6, 2020


Jelasnya lagi, penundaan itu turut merencatkan momentum pasukannya yang kini berada dalam kedudukan terbaik untuk mengecap kejuaraan, khususnya menerusi Azroy Hakeem Annuar yang mendahului kategori perdana CP150 dengan 81 mata selepas empat perlumbaan.

"Bukan kita akan mati kerana COVID-19 tapi mati kelaparan.

"Kalau kita kembali ke situasi (Perintah Kawalan Pergerakan) seperti Mac lalu.

"Pasti akan timbul banyak masalah, bukan sahaja sukan permotoran malah semua industri akan terjejas."