"Dipendekkan atau tiada perlumbaan?"

Itulah perkara yang membelenggu setiap pasukan dalam Perlumbaan Cub Prix 2020.


Seandainya saingan itu dibenarkan untuk kembali dianjurkan, mereka tetap perlu membayarnya dengan harga mahal memandangkan jadual perlumbaan itu terpaksa dikurangkan.

Selain itu, perlumbaan itu juga akan dipadatkan dengan jadual yang berselang dua atau tiga minggu untuk menghabiskan kesemua pusingan.

Bagi pihak penganjur seperti Two Wheel Motor Racing (TWMR), mereka terpaksa akur dengan situasi itu walaupun perjanjian dengan pihak penaja memperuntukkan 10 pusingan perlumbaan.

"Ia adalah satu berita tidak gembira buat kami. Orang kata, kalau dalam 10 pusingan, ada kemungkinan tujuh dan ada dengar lapan tapi dalam masa sama, kami akur dengan apa yang berlaku disebabkan COVID-19.

"Kami terima seadanya jadual yang dikeluarkan oleh pihak penganjur dalam masa terdekat." kata pemilik pasukan Honda Yuzy Racing, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini.

Dalam masa sama, pemilik OneXOX TKKR Racing, Bobby Farid Shamsuddin, turut menyokong penganjuran perlumbaan dengan kekerapan sekali seminggu, berkata: "Ia merupakan satu latihan untuk pelumba-pelumba supaya lebih bersedia di peringkat antarabangsa.

"Kalau kita lihat dalam MotoGP, perlumbaan kadang-kadang berselang seminggu."

Pihak penganjur juga dalam pertimbangan untuk menggunakan hanya tiga litar sebagai venue pertandingan bagi kesemua lapan perlumbaan, iaitu Litar Tangkak, Litar Gong Badak dan Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

"Kalau nak diikutkan, daripada segi kelebihan bermakna ramai pelumba yang boleh menang. Dalam masa yang sama, kejohanan tahun ini berkemungkinan akan lebih sengit." tambah Shahrol Yuzy pula.