Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali, mengumumkan Malaysia bakal mempunyai seorang lagi pelumba 'wildcard' selepas Ramdan Rosli untuk perlumbaan Grand Prix Motosikal Malaysia (MotoGP) di Sepang, hujung minggu ini.

Slot bakal dibuka berikutan pelumba Britain, John McPhee, mengalami kemalangan ketika perlumbaan di GP Australia minggu lalu.

"Selepas berbincang, diharapkan kami dapat mengesahkan pada hari ini, satu lagi pelumba 'wildcard' untuk Moto3.

"Nama-nama seperti Hafiq Azmi dan (Mohamad) Helmi Azman ada di dalam perbincangan kami, bagaimanapun seorang lagi pelumba lain, saya tidak mahu sebut sekarang," katanya.

Perlumbaan di Sepang bakal menyaksikan lima pelumba tempatan bersaing, antaranya Hafizh Syahrin menerusi saingan Moto2, serta Khairul Idham Pawi dan Adam Norrodin dalam perlumbaan Moto3.

Tidak dilupakan Ramdan Rosli dan seorang lagi pelumba tempatan atas tiket wildcard, yang bakal diumumkan 27 Oktober ini.

Pusingan ke-17 MotoGP akan berlangsung di Litar Sepang pada 28 hingga 30 Oktober ini.