Meskipun terlepas peluang menaiki podium, pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin, tetap gembira menduduki tempat kelima di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sekaligus memperbaiki pencapaian tahun lalu .

Hari perlumbaan pada Ahad menyaksikan Hafizh bermula di petak ke-14.

Namun, Hafizh mengotakan janjinya untuk mengejar kelompok hadapan apabila berjaya memintas di selekoh pertama untuk berada di kedudukan kelapan.

Pelumba berusia 23 tahun itu kemudian terus memacu jenteranya untuk bersaing dengan pelumba Itali, Lorenzo Baldassarri, bagi merebut kedudukan keempat sebelum terpaksa akur dengan kepantasan jentera pesaingnya itu untuk menamatkan saingan di tempat kelima dengan catatan 46 minit 15.736 saat.

"Saya memulakan perlumbaan dengan baik, cuma ketika di bahagian selekoh saya agak tersasar sebelum kembali perkemaskan tunggangan memasuki selekoh kedua.

"Dari awal perlumbaan, saya dapat berasakan rentak saya hari ini lebih baik berbanding semalam. Jadi, hari ini saya dapat menduduki tempat kelima," jelasnya.

Keputusan itu turut meletakkan Hafizh kekal di kedudukan kesembilan kejuaraan Moto2 dengan 117 mata.

Sementara itu, seorang lagi pelumba tempatan, Ramdan Rosli -- yang beraksi atas tiket wildcard -- turut mempamer tunggangan mantap.

Ramdan berjaya mengawal jenteranya dengan baik untuk menamatkan saingan di tangga ke-12 dengan catatan masa 46 minit 22. 296 saat yang merupakan rekod terbaik yang pernah dilakar olehnya sepanjang bergelar pelumba profesional.

"Alhamdulilah ketika sesi latihan bebas ketiga dan kelayakan semalam, saya menjumpai penyelesaian daripada aspek membrek. Jadi, Alhamdulillah dapat mengutip mata di laman sendiri," ujarnya.

Tempat pertama milik pelumba Ajo Motosport, Johan Zarco, yang turut dinobatkan sebagai juara Moto2 musim 2016.

(Kredit imej: Facebook Official Fan Club Hafizh Syahrin 55 pescao)