Saingan Formula Satu (F1) bakal bermula secara tertutup di Eropah susulan wabak coronavirus, kata Pengarah Urusan Sukan Permotoran, Ross Brawn.

Selasa lalu, Grand Prix Kanada -- yang dijadualkan pada 14 Jun depan -- menjadi saingan kesembilan musim 2020 yang ditangguhkan akibat COVID-19 sekali gus menyertai Australia, Azerbaijan, Bahrain, China, Netherlands, Monaco, Spain dan Vietnam.

Penganjur F1 tampak mahu memulakan saingan secepat mungkin dan tidak kira bagaimana kalendar diubah, ia akan diadakan tanpa penonton di litar.

"Jika kami bermula Julai depan, kami boleh jalankan 19 perlumbaan semusim," kata Brawn.

"Ia sukar memandangkan tiga perlumbaan, satu minggu rehat dan berlanjutan tetapi kami telah melihat aspek logistik."

"Bagi kami, permulaan di Eropah mampu dijalankan dan ia berlangsung secara tertutup.

"Kami juga akan melalui persekitaran tertutup di mana pasukan dari pesawat akan diturunkan ke litar. Kemudian, pastikan semua orang diuji, bebas dan tiada risiko untuk sesiapa sambil perlumbaan diadakan tanpa pemerhati. Ia tidak bagus tetapi lebih baik berbanding tiada perlumbaan."