S1K: Tengku Djan buru gelaran ketiga

Oleh Penulis Jemputan 9 November 2017 91
S1K: Tengku Djan buru gelaran ketiga
Perlumbaan Sepang 1,000 Kilometer (S1K) bakal menyaksikan dua pasukan menjadi pilihan utama untuk memburu kejuaraan, dengan pelumba Maxoil Mayhem Racing, Tengku Djan Ley, mengidam gelaran ketiga di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Sabtu ini.

Tahun lalu menyaksikan Tengku Djan meraih kejuaraan sambil dibantu oleh Keifli Othman serta gandingan selebriti, Zizan Razak dan Faye Kusairi, bagi pasukan Mayhem-FX Tune Racing.

Lantaran itu, dia sekali lagi menjadi pilihan meskipun terdapat sedikit kelainan untuk edisi kali ini.

Ia selepas Mayhem Racing menghantar dua pasukan dengan Tengku Djan mengetuai Maxoil Mayhem, sementara Keifli akan berlumba untuk pasukan AFR-Mayhem.

Selain itu, pasukan ini juga beralih jentera dengan menggunakan Honda Jazz sebagai taruhan berbanding Proton Suprima S yang digunakan tahun lalu.

"Hari ini adalah hari terakhir latihan bagi membuat beberapa pertukaran kecil. Saya fikir kereta saya konsisten dan baik untuk hujung minggu ini. Kami tidak sabar untuk beraksi," kata Tengku Djan.

Tentangan utama buat pasukan Mayhem sudah pasti daripada Proton R3 Racing yang mempertaruhkan Fariqe Hairuman selaku pelumba utamanya.

Ini kali ketiga Fariqe menyertai perlumbaan S1K dan pastinya mengharapkan tuah lebih memihak kepadanya Sabtu ini.

"Kami tidak sabar untuk memenangi perlumbaan di sini kerana saya belum pernah memenangi perlumbaan tempatan kecuali Kejohanan MCS (Siri Kejohanan Malaysia).

"Dengan dikelilingi pelumba hebat, ia akan meningkatkan lagi saingan. Jadi, saya fikir ia adalah perlumbaan yang menarik untuk ditonton," katanya.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen