Valentino Rossi dan Jorge Lorenzo mengakui telah menempuh hubungan yang agak tegang selaku rakan sepasukan Yamaha, namun bersetuju bahawa banyak yang telah mereka pelajari di antara satu sama lain dalam tempoh itu.

Lorenzo akan meninggalkan Movistar Yamaha selepas berakhirnya pusingan akhir MotoGP musim ini di Valencia bagi menyertai Ducati musim depan.

Permusuhan di antara kedua-dua pelumba bermula sejak tahun 2010 apabila Lorenzo muncul juara dunia, Yamaha terpaksa membina dinding pemisah di dalam garaj pasukan bagi mengasingkan kedua-dua pelumba.

Persaingan di antara mereka turut kembali tercetus pada tahun 2015 apabila Lorenzo sekali lagi muncul juara.

Namun, dengan karier Lorenzo bersama Yamaha semakin mencapai penghujung, kedua-dua pasangan tersebut kini tidak berselindung untuk melontarkan kata-kata pujian terhadap diri masing-masing.

"Kami meraih banyak kemenangan, dan kami sangat kompetitif sejak daripada awal lagi," kata Rossi.

"Kami telah bersama dengan lama, jadi sudah banyak yang kami pelajari di antara satu sama lain.

"Apa yang berlaku memberikan kami motivasi dan di akhir perlumbaan, kami masih berlumba sebagai satu pasukan.


"Pada sesetengah musim, jentera kami mampu mencabar kejuaraan, jadi kami buat segala yang termampu."

Sementara itu, Lorenzo mengakui ilmu dikutip ketika menyaingi satu sama lain bakal dibawanya ke musim baru.

"Banyak yang kami pelajari di antara satu sama lain dan musim depan saya akan bersaing dengannya," ujarnya.