"Remuk hati saya apabila melihat anak kesayangan saya ditimpa kemalangan seperti itu," kata bapa kepada Hafizh Syahrin Abdullah, Abdullah Harun, ketika melihat anak sulungnya itu terlibat dalam insiden ngeri dalam perlumbaan GP Austria di Litar Red Bull Ring semalam.

Pelumba Moto2 negara itu berdepan episod malang yang hampir mengorbankan nyawanya di selekoh pertama pusingan keempat selepas pelumba pasukan Italtrans Racing Team, Enea Bastianini, terlebih dahulu tergelincir dan jenteranya tertinggal di tengah-tengah litar.

Malang buat Hafizh Syahrin, yang sedang memecut selepas memintas beberapa pelumba lain, apabila gagal mengelak jentera di tengah-tengah litar berkenaan.

Pelumba negara itu kelihatan melambung tinggi dan kedua-dua jentera yang bertembung itu berkecai sebelum bendera merah dikibarkan.

Doktor dan pegawai perubatan bergegas ke lokasi kemalangan bagi memberikan bantuan awal kepada Hafizh Syahrin sebelum dia dikejarkan ke pusat perubatan dengan Ambulans.

Bekas pelumba kategori perdana MotoGP itu, bagaimanapun, disahkan tidak mengalami sebarang kecederaan serius.



Dalam satu temubual bersama Nadi Arena, Abdullah berkata: "Keadaannya (berlaku) ketika kelajuannya terlampau tinggi. Sektor di mana kejadian itu berlaku juga merupakan sektor yang dia merekodkan kelajuan paling tinggi dari FP1 hingga hari perlumbaan.

"Apabila anda sedang bersaing dan terlampau rapat (dengan pelumba di depan), anda tidak dapat menjangkakan apa yang berada di depan.

"Kebiasaannya, apabila ada pelumba terjatuh, motosikalnya akan terkeluar daripada litar tetapi ia tidak berlaku semalam.

"Motosikal itu tertinggal di tengah-tengah garisan perlumbaan.

"Semua pelumba tidak akan menjangkakan perkara itu tetapi itulah yang perlu ditanggung (Hafizh Syahrin).

"Sewaktu kejadian itu, saya memang sudah menjangkakan itu adalah Hafizh Syahrin.

"Saya terkenang kembali kiriman IG (Instagram) di mana dia berkata sudah 13 tahun dia dalam sukan permotoran, bye-bye, jadi badan saya pada ketika itu terus berasa seram-sejuk.

"Apabila melihat keadaan motor di atas litar saya memang terasa seram sejuk," katanya.

Mengulas lanjut, Abdullah menambah: "Adik bongsunya memang rapat dengannya dan dia juga sudah menangis.

"Saya pun sudah rasa sebak pada waktu itu tetapi perkara itu harus dilalui oleh setiap pelumba dan keluarganya, jadi saya perlu menerimanya.

"Saya memang sudah bersedia (menghadapi perkara ini) sejak 13 tahun lalu dan itulah yang menguatkan semangat saya.

"Selepas kejadian itu, saya terus menghubungi pasukannya.

"Selang beberapa minit, Datuk Razlan Razali (prinsipal Petronas SRT Racing) memaklumkan kepada saya bahawa Hafizh OK dan tiada patah (tulang).

"Ketika itu saya mula tenang sebelum pasukan mereka mengesahkan bahawa Hafizh OK dan mereka akan menjaganya di sana," katanya lagi.

Get well soon !! #Repost @hafizh_syahrin with @make_repost ・・・ Alhamdullilah,Terima Kasih All for the message! ❤️?? #RezekiDariAllah #teamHS #HS55

A post shared by Astro Arena 801 & 802HD (@astroarenahd) on