Hujung minggu paling bermakna buat pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing (SRT) di MotoGP terutama bagi, Franco Morbidelli, yang meraih kejayaan sulung kelas perdana, di GP San Marino.

Di sebalik perhatian awal buat Valentino Rossi, Morbidelli berjaya menghindari kelompok mengejar, sebelum muncul pemenang.

Malang buat rakan sepasukan, Fabio Quartararo tiak dapat meneruskan saingan apabila terjatuh sekaligus terjatuh di tangga kedua bagi saingan kejuaraan, dipintas oleh Andrea Dovizioso dari Ducati.

Terdahulu, SRT turut mencatat keputusan terbaik mereka di kelas Moto2 menerusi Xavi Vierge yang menduduki tempat keempat.

Vierge memperbaiki pencapaian terbaik peribadi yang membolehkan dia menghuni tangga ketujuh kejuaraan dunia Moto2.

Sementara, taktikal berkesan oleh John McPhee menghadiahkan SRT kemenangan sulung perlumbaan Moto3 musim ini, biarpun sekadar bermula dari petak ke-17.

McPhee berjaya mengurangkan defisit kejuaraan dunia kepada 14 mata di belakang pendahulu keseluruhan, Albert Arenas.

Catatan baik juga buat pelumba negara, Khairul Idham Pawi sejak kembali dari pembedahan jari 25 Ogos lalu, apabila menamatkan perlumbaan di tangga ke-21.

Sementara itu, Prinsipal SRT, Datuk Razlan Razali, yang ternyata berpuas hati dengan prestasi pasukannya.

Bagaimanapun, dalam perlumbaan seterusnya, Razlan meletakkan sasaran yang lebih tinggi hanya buat Khairul Idham untuk sekurang-kurangnya mengisi kedudukan ke-15 hingga 18.

"Kami menjangkakan peningkatan lagi daripada Khairul Idham supaya dia terus bersaing di kelompok yang lebih tinggi selepas ini," kata Razlan.

Razlan juga kagum dengan semangat juang pelumba sensasi negara, Hafizh Syahrin Abdullah di GP San Marino dan tidak menafikan bakat luar biasa yang ada dalam diri Hafizh.

Dalam masa sama, hajat Hafizh untuk melakukan tunggangan terbaik pada perlumbaan demi arwah neneknya yang meninggal dunia awal minggu ini, tidak kesampaian apabila terjatuh pada baki empat pusingan terakhir.

Begitupun, pelumba Oceanica Aspar Team itu masih berpeluang untuk memburu penamat terbaik di litar sama, Misano minggu depan selepas keputusan di pentas Moto2 menyaksikan Hafizh mampu secara konsisten meletakkan dirinya dalam kelompok 10 terbaik sebelum terjatuh.

"Ia bukanlah satu permulaan yang teruk, saya berada di posisi terbaik pada awal perlumbaan tetapi saya berhadapan dengan masalah cengkaman tayar belakang.

"Sangat sukar bagi saya untuk menukar arah di sebelah kiri. Bagaimanapun, saya berusaha sebaik mungkin kerana saya mahukan kedudukan terbaik dalam perlumbaan ini untuk pasukan saya dan sebagai memperingati arwah nenek saya (Arbaieah Muhammad).

"Saya sedikit bergelut dengan masalah itu. Ada suatu ketika saya tidak dapat mengawal motosikal dengan baik apabila secara tiba-tiba hilang cengkaman di bahagian depan di selekoh terakhir. Ia sedikit mengecewakan kerana saya sudah cuba untuk mengekalkan kedudukan dan kami sebenarnya boleh menamatkan perlumbaan dalam kelompok 10 terbaik," katanya.