Prinsipal pasukan Sepang Racing Team (SRT), Datuk Razlan Razali, tetap membanggakan dengan pencapaian pasukannya di Grand Prix Republik Czech di Brno walaupun gagal mencapai kemenangan hatrik.

Ini merupakan kali pertama pelumba SRT, Franco Morbidelli, berjaya menaiki podium dengan meraih tempat kedua dan menaiki tangga ketiga dalam kejuaraan dunia.

"(Rakan sepasukan), Fabio Quartararo menghadapi masalah dengan tayar, yang kami tidak jangkakan langsung, tetapi saya gembira beliau berjaya menamatkan perlumbaan itu di tempat ke tujuh.

"Pasukan kami akan menganalisa semua masalah utama pada motosikal beliau dan lakukan apa yang boleh sebelum perlumbaan seterusnya di Austria," kata Prinsipal pasukan SRT, Datuk Razlan Razali.

Reaksi gembira dan bangga hanya mampu diluahkan Razlan apatah lagi selepas kejayaan yang tidak dijangka pasukannya dalam tiga perlumbaan sejak di Jerez.

Secara keseluruhan, SRT berjaya memperolehi sebanyak 10 podium termasuk kejayaan podium Morbidelli di Brno sejak penyertaannya dan Quartararo tahun lepas.

SRT kini semakin menjarakkan kedudukan sebagai pendahulu kelas MotoGP dan bakal kembali beraksi pada 14 hingga 16 Ogos ini di Austria.

Sementara itu, Razlan tetap mahu melihat Khairul Idham Pawi meningkatkan prestasi walaupun dia berpuas hati dengan tunggangan Super KIP di Brno.

Khairul Idham menamatkan saingan di kedudukan ke-22 di Brno sekaligus menyaksikan dia tidak pernah berada di posisi bawah 20 sejak di Qatar.

"Saya meluangkan masa bersama Khairul Idham dan telah berbincang mengenai penambahbaikan yang diperlukan. Kecederaan yang dialami masih lagi membelenggu prestasinya dan kami berharap dia akan kembali cemerlang di GP Austria nanti," kata Razlan.