Mohd Ramdan Rosli berjaya mengatasi masalah gear menjelang perlumbaan akhir untuk meraih kemenangan sulung CP150 musim 2017 pada perlumbaan Pusingan Kelapan, Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Bandar Seri Jempol, Negeri Sembilan, hari ini.

Selepas aksi cemerlang sepanjang tiga pusingan lalu, termasuk dua gelaran naib juara di Selangor (Pusingan 5) dan Melaka (Pusingan 6), pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor itu bergelut dengan masalah gear sepanjang sesi latihan yang menyaksikannya sekadar bermula dari petak kelapan.

Pelumba berusia 21 tahun itu menamatkan 20 pusingan perlumbaan dengan masa keseluruhan 15’24.031s, mengatasi pemenang tempat kedua, Md Adib Rosley (Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing) dengan kelebihan 0.388s.

Md Iqbal Amri Abd Malek (PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ) meraih podium pertama setelah menamatkan perlumbaan di tempat ketiga dengan masa 15’25.255s.

Pendahulu keseluruhan, Kasma Daniel Kasmayudin, terjatuh dan gagal meneruskan perlumbaan manakala pencabarnya, Ahmad Afif Amran (PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ), turut terjatuh namun berupaya meneruskan perlumbaan di kedudukan ke-15.

“Setiap sesi latihan saya menggunakan pelarasan yang berbeza-beza dan sewaktu sesi Superpole, saya masih gagal untuk menyesuaikan diri dengan jentera saya. Saya mengalami masalah gear pada sesi Superpole dan terpaksa bermula dari petak kelapan,” jelas Ramdan.

Tambahnya, “Pada peringkat awal perlumbaan, saya tidak yakin mampu menamatkan saingan di atas podium. Namun, selepas masuk pusingan ke-10, ditambah dengan ketiadaan rakan sepasukan, Kasma Daniel, saya berjaya berada di kelompok depan.

"Saya hanya mengekalkan rentak saya dan mencari peluang untuk memintas Adib. Saya gembira kerana dapat memenangi perlumbaan pertama dalam karier CP150 saya.”

Kemenangan ini meletakkan Ramdan di tangga keempat keseluruhan dengan 70 mata manakala Kasma kekal di tangga teratas dengan 125 mata. Ahmad Afif kedua dengan 100 mata manakala Ahmad Fazli Sham ketiga dengan 75 mata.

Dalam saingan CP115, Mohd Akid Aziz (PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor) meraih kemenangan kelima peribadi pada musim 2017, sekaligus semakin hampir untuk mempertahankan gelaran keseluruhan yang dimenangi pada musim lalu.

Akid yang bermula dari petak pertama menamatkan 15 pusingan perlumbaan dengan masa keseluruhan 11’50.983s, diikuti Tengku Amirul Haffirudin (Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing) kedua dengan masa 11:51.333s dan Ahmad Syukran Aizat (PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ) ketiga, 11:55.239s.

Selepas lapan pusingan, Akid kini mengumpul 155 mata dan hanya dua mata lagi diperlukan untuk mengesahkan gelaran keseluruhan ketika perlumbaan musim 2017 hanya berbaki dua pusingan. Rakan sepasukan, Md Haziq Md Fairues, berada di kedudukan kedua dengan 107 mata manakala Ahmad Syukran ketiga dengan 94 mata.

Dalam saingan Wira, Mohd Aiman Tahiruddin (PETRONAS Sprinta Yamaha – Afb Tech), muncul juara dengan masa keseluruhan 9’37.095s, diikuti Mohd Aiman Azman (V-Fier Oil Legacy Motorsport Racing) yang meraih podium pertamanya pada musim ini muncul naib juara dengan masa 9’39.905s dan Mohd Syafieq Aiman Fauzi (Elf Koyoko KC Racing Team) ketiga, 9’43.537s.

Kemenangan di Jempol meletakkan Mohd Aiman selesa di tangga teratas dengan 132 mata manakala Syafieq Aiman kekal di tangga kedua dengan 110 mata. Saiful Azhary Muhamad (Idemitsu Kozi Yam Honda Racing) yang menamatkan perlumbaan di tempat keenam, kekal di tangga ketiga dengan 103 mata.