Pemandu MRU Motorsports, Rachmat, dari Indonesia memenangi siri terakhir Kejuaraan Rali Malaysia AAM di Taman Endurance Antarabangsa Terengganu (TIEP), semalam.

Masa keseluruhan 50 minit 33.886 saat yang dicatat memberikan kejuaraan ketiganya dalam kategori 4WD selepas unggul dalam siri pertama di Johor dan siri kedua di Perlis.

Rachmat yang memandu Mitsubishi Lancer Evo 9 mengatasi pemandu tempatan, Muhammad Rafiq Udhaya (51:54.578) dengan jentera Subaru Impreza di tempat kedua.

Tempat ketiga milik Sutan Mustaffa Salihin dengan masa 54:02.389 manakala pelumba legenda negara, Karamjit Singh yang mencatat masa keseluruhan 0:55:22.770, keempat.

Hanya empat daripada enam peringkat perlumbaan dilangsungkan di TIEP selain separuh laluan acara jalan raya dipendekkan akibat banjir, namun persaingan masih sengit dalam perlumbaan 70km itu.

Kategori 2WD pula dimenangi Norazizi Zainal Abidin yang mencatat 1:00:11.960 manakala Abdul Kaathir Mohamed Mustaffa (1:00:14.186) di tempat kedua.