Petronas yakin dapat terus kerjasama dengan Mercedes

Oleh Staff Writer 10 Oktober 2016 68
Petronas yakin dapat terus kerjasama dengan Mercedes
Petronas yakin dapat meneruskan gandingan juara bersama pasukan Formula Satu (F1) Mercedes AMG meskipun kontrak usahasama mereka akan berakhir pada penghujung musim 2017.

Petronas mula menaja Mercedes AMG bermula musim 2010 dengan kontrak lanjutan tiga tahun yang diperbaharui pada musim 2014.

Komitmen tinggi kedua-dua pihak ini menyaksikan Petronas meraih pelbagai manfaat untuk membantu industri sukan permotoran tempatan.

Lantaran itu, Naib Presiden Perniagaan Hiliran Petronas, Md Arif Mahmood, berharap kerjasama ini dapat diteruskan dengan pihaknya sudah merangka perancangan rapi bagi menghadapi musim 2017.

Selain itu, perbincangan lebih mendalam akan dilakukan oleh kedua-dua pihak bagi memastikan satu lagi ikatan kerjasama dapat diteruskan.

"Kami akan membincangkan mengenai kontrak itu. Kami berharap segala-galanya akan berjalan dengan baik. Ia merupakan satu kerjasama yang baik untuk kami. 

"Jika anda melihat pembelajaran yang kami dapat daripada keseluruhannya, perkara yang paling penting bukan kerjasama dan penajaan. Ia adalah perkongsian kerjasama teknikal dan itulah yang kami cari."

Arif berkata demikian selepas majlis meraikan kejayaan pasukan Mercedes AMG Petronas menjuarai kejuaraan kategori pengeluar buat musim ketiga berturut-turut selepas perlumbaan Grand Prix (GP) Suzuka semalam.

Tambah Arif, kejayaan ini bukan sahaja untuk Petronas, malah ia turut membawa kepentingan nasional bagi meletakkan imej Malaysia selaku antara yang terbaik.

Untuk rekod, Petronas mula berkecimpung dalam F1 sejak 1995 menerusi pasukan Sauber-Petronas.

"Ia adalah sesuatu yang boleh kita raikan, bukan sahaja untuk Petronas, ia adalah untuk Malaysia dan seluruh dunia.

"Kami bekerja rapat dengan Mercedes untuk mencari minyak pelincir terbaik dan bahan api untuk kereta," katanya pada majlis yang dirai bersama kakitangan Petronas, hari ini.

Pasukan Mercedes AMG Petronas muncul sebagai juara kategori pengeluar walaupun saingan masih berbaki empat pusingan selepas pelumbanya, Nico Rosberg, mengungguli GP Suzuka.

Pelumba Jerman itu yang meraih kejayaan kesembilan musim ini, kekal berada di landasan terbaik untuk cuba memenangi gelaran sulung ketika dia mendahului kejuaraan pemandu dengan 313 mata. 

Juara bertahan, Lewis Hamilton, yang mengumpul 280 mata menyusul di tempat kedua, sekali gus menyaksikan Mercedes AMG Petronas menjuarai kategori pengeluar dengan 593 mata.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen