Pemilihan tayar perangkap pelumba Moto3 negara

Oleh Shaiful Shamsudin 29 Oktober 2016 0
Pemilihan tayar perangkap pelumba Moto3 negara
Segala-galanya tampak tidak menjadi buat dua wakil tempatan dalam kelas Moto3 Kejohanan Motorsikal Dunia (MotoGP) Malaysia.

Baik Khairul Idham Pawi mahupun Adam Norrodin, pemilihan tayar yang tidak sesuai dan masalah penyelarasan jentera adalah antara faktor mereka tidak mampu untuk meneruskan momentum seperti sesi latihan.

"Saya akan bermula di petak ke-20 dan memang agak sukar. Saya akan cuba melakukan yang terbaik untuk Malaysia," kata Khairul Idham.  

Masih menyimpan impian untuk menggembirakan rakyat Malaysia di laman sendiri, kedua-dua pelumba kebanggaan negara tetap optimis mampu mengejar kelompok hadapan ketika hari perlumbaan. 

"Mungkin hujan lebat menyebabkan saya sukar untuk memperbaiki catatan terbaik. Dari awal, saya menghadapi sedikit kesukaran kerana masih belum mendapat rentak," kata Adam pula. 

Untuk sesi perlumbaan sebenar esok, Adam akan bermula di petak ke-18 apabila mencatatkan masa 2 minit 28.965 saat, manakala Khairul Idham yang membuat catatan masa terbaik 2 minit 28.989 saat akan bermula di petak ke-20. 

Tidak dilupakan, seorang lagi pelumba wild card negara, Hafiz Azmi, akan berada di petak ke-22 dengan catatan masa 2 minit 29.334 saat. 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen