Khusus buat remaja berbakat di luar sana yang berminat untuk menceburi bidang perlumbaan secara profesional, pendaftaran bagi sesi pemilihan pelumba Kategori Satu Pengeluar (OMR), Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS bagi musim 2018 kini dibuka.

Sama seperti musim-musim lalu, perlumbaan yang dianjurkan bersama pengeluar, Boon Siew Honda Sdn Bhd dan Hong Leong Yamaha Motor Malaysia Sdn Bhd itu terus memainkan peranan penting dalam melahirkan pelumba tempatan berbakat, khususnya di peringkat remaja.

Perlumbaan satu pengeluar ini mempunyai sejarah melahir dan mengembangkan bakat ramai pelumba terbaik negara ketika ini.

Antara bakat yang lahir daripada program ini termasuk Hafizh Syahrin Abdullah, Mohd Ramdan Rosli,Adam Norrodin dan Kasma Daniel Kasmayuddin yang memulakan karier dalam siri perlumbaan Yamaha, Khairul Idham Pawi bersama Honda manakala Mohd Zulfahmi Khairuddin memulakan karier di dalam siri perlumbaan Junior GP pada tahun 2007.

"Langkah Honda dan Yamaha terus menganjurkan siri perlumbaan satu pengeluar bagi melahirkan pelumba generasi baru merupakan langkah positif buat industri sukan permotoran negara.

"Setiap tahun, perlumbaan kategori ini terus memperlihatkan muka-muka baharu yang menjadi pelapis kepada generasi pelumba hari ini," ujar Pengarah Safe Aim Mutual Sdn Bhd, Ron Hogg, merangkap promoter bagi siri Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS.

Tiada sebarang bayaran dikenakan kepada calon yang memohon dan mereka yang terpilih untuk menjalani sesi pemilihan yang akan dijalankan Disember ini, akan dihubungi oleh pihak pengeluar.

Bagi yang berjaya melepasi ujian pemilihan dan tersenarai untuk berlumba dalam kategori satu pengeluar musim 2018, pelumba perlu menyediakan bayaran pendaftaran RM4,000 yang merangkumi bayaran yuran pendaftaran untuk 10 pusingan, insurans, pengurusan dan kelengkapan berkaitan perlumbaan.
Kepada yang berminat, pendaftaran boleh dibuat di laman www.malaysiancubprix.com. Tarikh tutup pendaftaran ialah pada 5 Disember ini.