Barisan pelumba motorsikal negara melaungkan amaran awal untuk menakluki Litar Sepang hujung minggu ini apabila berjaya menempatkan diri dalam kelompok 10 pelumba terbaik pada hari pertama sesi latihan saingan Kejohanan Motorsikal Dunia (MotoGP) Malaysia.

Cuaca yang tidak menentu tidak memberi kesan buat barisan pelumba negara yang turun untuk menyesuaikan diri dengan keadaan Litar Sepang yang berwajah baru.

Penurapan permukaan serta perubahan teknikal di selekoh terakhir litar mampu diatasi barisan pelumba negara.

Pelumba Moto3 negara yang diketuai Khairul Idham Pawi menamatkan sesi latihan pada hari ini di kedudukan kedua dengan catatan masa 2 minit 16.371 saat.

Seorang lagi pelumba kebanggaan negara, Adam Norrodin, pula berpuas hati untuk berada di kedudukan ke-24 dengan catatan 2 minit 18.996 saat.

Pelumba yang beraksi atas tiket 'wildcard', Hafiz Azmi, tidak mengecewakan apabila berjaya melakukan pusingan terpantas 2 minit 19.728 saat untuk berada di kedudukan ke-28.

"Insya-Allah saya akan cuba yang terbaik untuk mendapatkan tempat di podium untuk Malaysia, dan sama ada litar kering atau basah, saya tetap akan memberikan saingan," tekad Khairul Idham.

"Saya tidak berapa berpuas hati. Sebenarnya saya menjangkakan mampu membuat tunggangan yang lebih baik pada hari ini.

"Cuma saya menghadapi sedikit masalah di bahagian enjin," kata Adam mengenai prestasinya.

Beralih ke saingan Moto2, pelumba sandaran negara, Hafizh Syahrin, tidak menghadapi masalah untuk menggembirakan penyokong tempatan apabila mempamerkan tunggangan cemerlang untuk berada di kedudukan kelapan terbaik.

Meskipun terjatuh ketika sesi latihan kedua pada sebelah petang, Hafizh masih mampu tersenyum untuk melakar catatan terbaik 2 minit 9.436 saat.

"Pagi tadi, kami hanya sempat menunggang sebanyak dua pusingan sebelum hujan turun. Kemudian kami mencuba pelarasan untuk cuaca hujan dan selepas 5-6 pusingan, saya berasakan motorsikal saya agak bagus.

"Litar juga lebih mencengkam berbanding keadaan kalau hujan di Sepang. Jadi saya akan cuba berikan yang terbaik esok," kata Hafizh.

Sementara itu, seorang lagi pelumba negara, Ramdan Rosli, gagal untuk mencipta kejayaan seperti yang lain apabila sekadar berada di kedudukan tercorot dengan masa 2 minit 15.735 saat.