Peluang Vettel muncul juara masih bernyala 

Oleh Penulis Jemputan 20 Oktober 2017 234
Peluang Vettel muncul juara masih bernyala 
Pemandu Ferrari, Sebastian Vettel, mengekalkan harapannya untuk memenangi gelaran Formula Satu (F1) musim ini meskipun berdepan masalah kebelakangan ini.

Pemandu Jerman itu ketinggalan 59 mata di belakang Lewis Hamilton dalam kedudukan pemandu kerana isu kemampuan jentera pada hujung saingan musim ini.

Dengan hanya berbaki empat perlumbaan, bermula dengan Grand Prix (GP) Amerika Syarikat (AS) hujung minggu ini, Vettel kelihatan ketinggalan terlalu jauh untuk menggapai gelaran.

Bagaimanapun, juara empat kali itu masih percaya dengan peluangnya untuk mengatasi Hamilton.

"Saya masih fikir bahawa kami mempunyai peluang dan kami hanya perlu fokus kepada tugas kami," kata Vettel.

"Kami mempunyai sebuah jentera yang hebat dan satu pakej bagus yang boleh memenangi dua perlumbaan terakhir, namun kami gagal melakukannya.

"Tetapi, ini tidak bermakna kami tidak mempunyai peluang untuk memenangi perlumbaan terakhir. Oleh itu, kami perlu memberikan tumpuan dalam perlumbaan seterusnya dan pada masa akan datang.

"Secara keseluruhannya, saya fikir ia adalah musim yang sangat baik buat kami setakat ini. Sesetengah daripada kami akan dinilai dalam beberapa perlumbaan terakhir, itu tidak bagus. 

"Bagaimanapun, saya fikir kami adalah pasukan yang bertambah baik pada tahun ini. Tiada siapa yang mengharapkan kami menjadi lebih gagah seperti ini.

"Jadi, saya fikir ada banyak aspek yang positif. Kami masih mempunyai baki perlumbaan dan sebuah kereta yang kuat dan kami akan terus bertambah baik.

"Kami menuju ke arah yang betul dan mempunyai kakitangan yang handal. Saya akan tetap fokus dengan cabaran di hadapan kami," katanya.

Hamilton mendominasi litar di Austin dalam beberapa tahun kebelakangan ini yang menyaksikannya memenangi tiga perlumbaan terakhir di AS.

Vettel tidak pasti apa yang diharapkan di Texas tetapi dia yakin dengan peluang Ferrari.

"Pada hujung minggu ini, saya tidak tahu apa yang diharapkan di sini tetapi trek itu adalah tidak menentu dan kami memiliki kelajuan, jadi saya yakin," tambahnya.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen