Pendahulu keseluruhan, Md Syarifuddin Azman, berpeluang untuk bergelar juara keseluruhan WIRA KBS seandainya muncul juara dalam perlumbaan pusingan kesembilan, Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Jempol, Negeri Sembilan, hujung minggu ini.

Pelumba Idemitsu Kozi YAM Honda Racing itu sedang mendahului kedudukan dengan 133 mata, terikat jumlah pungutan mata bersama Md Danial Syahmi, namun memiliki kelebihan jumlah kemenangan berbanding pencabarnya itu.

Selepas lapan pusingan, Syarifuddin kini memiliki lima kemenangan berbanding Danial yang meraih dua kemenangan.

Namun, Danial terlepas aksi di Jempol minggu ini akibat kecederaan, yang menyaksikan peluang lebih terbuka kepada Syarifuddin untuk meraih kemenangan keenam berturut-tutut musim ini.

Satu-satunya pelumba yang masih mampu memberikan cabaran ialah Md Alif Ashraf Tahiruddin yang kini berada di kedudukan ketiga dengan 112 mata jika pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha itu mampu menjuarai perlumbaan minggu ini.

"Di atas kertas, mungkin nampak ada kelebihan kepada saya, namun situasi berbeza jika di litar. Banyak faktor lain perlu diambil kira, terutama sewaktu perlumbaan," jelas Syarifuddin.

Tambahnya, "Ketiadaan Danial juga bukannya alasan untuk saya mengambil mudah saingan minggu ini. Secara peribadi, saya turut bersimpati dengan kecederaan Danial. Persaingan di antara kami berdua cukup menarik dan sengit sepanjang musim ini. Saya doakan dia cepat pulih dan kembali ke litar semula.

"Namun, saya yakin rakan sepasukannya juga mampu memberikan saingan kepada saya, begitu juga dengan Alif yang sentiasa konsisten berada dalam kelompok depan musim ini.

"Apa yang penting, saya perlu cukup bersedia, begitu juga pasukan yang pastinya akan menyediakan jentera terbaik kepada saya.

"Berbanding memikirkan gelaran keseluruhan, saya lebih suka untuk fokus kepada perlumbaan sahaja."