Pelumba drift Negeri Sembilan, PD Tan, dinobat sebagai juara Pusingan Khas Siri Perlumbaan Drift Sabah: Rexxo Drift Battle yang diadakan di Papar, baru-baru ini.

Beliau yang mewakili pasukan D Force Racing Team menaiki podium selepas menewaskan pelumba Kedah, Fazreen Ismail dari pasukan Suzuka Drift dalam final.

Sementara itu, pelumba Johor, Teh Jin Shoon dari pasukan YH Motorsport pula muncul pemenang tempat ketiga mengatasi pelumba Sabah, Ah Hing Lee, di tempat keempat.

Dalam pada itu, pendahulu pusingan kelayakan, Desmond Chong, hanya menduduki tempat kelima manakala pendahulu siri perlumbaan, Mah Choun Hwo, terpaksa berpuas hati di kedudukan keenam selepas tersingkir dalam pertarungan lapan pelumba terbaik.

Penyampaian hadiah perlumbaan itu disempurnakan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Johnny Mositun.

Dalam ucapannya, Johnny mengucapkan tahniah kepada semua pemenang selain memuji penganjur yang berjaya menganjurkan perlumbaan drift berskala besar di Sabah.

"Program ini telah memberi impak yang positif kepada daerah Papar dan saya harap pada tahun hadapan, akan ada lagi kejohanan atau program yang berjaya menarik jumlah pengunjung yamg ramai seperti perlumbaan drift ini," katanya.

Seramai 37 pelumba drift dari sekitar Sabah dan Semenanjung menyertai perlumbaan selama dua hari berkenaan dan menurut jurucakap penganjur, Mohd Arziwan Alli Awang Talip, ia adalah penyertaan paling ramai dalam siri perlumbaan drift di Sabah setakat ini.