Memegang gelaran juara keseluruhan berpasukan dalam kategori CP130 musim 2016 masih belum cukup buat pasukan PETRONAS Yamaha Maju Motor apabila mereka mengidamkan gelaran sama dalam kategori CP115 dalam saingan pusingan kesembilan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Jempol, Negeri Sembilan, Sabtu dan Ahad ini.

Pasukan PETRONAS Yamaha Maju Motor hanya memerlukan 25 mata melalui gabungan dua pelumba, Mohd Akid Aziz dan Mohd Haziq Fairues, untuk mengesahkan gelaran setelah mengumpul 198 mata setakat lapan pusingan lepas -- 65 mata mengatasi Motul Zeneos Motul Yamaha YY Pang yang berada di kedudukan kedua dengan 133 mata.

Malah, pasukan kendalian Yong Yin Hoe itu turut berpeluang menambah gelaran melalui Kasma Daniel Kasmayuddin yang dilihat berada pada landasan terbaik untuk mengesahkan gelaran juara keseluruhan CP130 pada minggu ini apabila kini berkelebihan 22 mata ke atas rakan sepasukan, Ahmad Fazli Sham.

"Anugerah Berpasukan CP115 merupakan satu bonus kepada kami.

"Kami tidak meletak sebarang sasaran pada peringkat awal musim kerana kedua-dua pelumba kami masih baharu dalam kelas CP115 ini.

"Akid sebelum ini beraksi dalam kelas Wira dan Haziq pula merupakan juara Super Siri PETRONAS Yamaha pada musim lepas.

"Akid mungkin mempunyai sedikit pengalaman beraksi dalam kelas terbuka manakala Haziq pula hanya berpengalaman beraksi dalam perlumbaan terakhir kategori Wira pada tahun lalu," jelas Yong.

Berpuas hati dengan penampilan kedua-dua pelumba muda itu, Yong berkata, "Pada pusingan pertama hingga pusingan keempat, kami hanya mahu mereka menimba pengalaman berhadapan pelumba lebih berpengalaman.

"Namun, apabila kedua-duanya sentiasa menunjukkan keputusan yang bagus, kami terus mempersiapkan mereka untuk bersaing merebut podium bermula pusingan kelima dan berikutnya."

Malah, pencapaian Akid dan Haziq melepasi jangkaan apabila kedua-duanya kini sedang berada di kelompok tiga pelumba teratas untuk mengejar gelaran juara keseluruhan CP115.

Namun, dalam masa yang sama, kedua-duanya diberikan kebebasan untuk bersaing sesama sendiri tanpa sebarang arahan khusus dari pasukan.

"Sebagai persediaan menghadapi pusingan kesembilan, apa yang pasukan boleh lakukan adalah untuk memastikan mereka tenang dan tidak tertekan.

"Kedua-duanya masih muda dan jika diberikan tekanan oleh pasukan, mungkin prestasi mereka akan terjejas. Kami mahu mereka tenang dan cuba memberikan aksi terbaik ketika di litar. Misi utama mereka adalah untuk mengutip mata sebanyak mungkin.

"Kami mempunyai peluang untuk mengesahkan gelaran juara berpasukan dalam kategori CP115 dan juga gelaran individu kategori CP130 minggu ini.

"Kami mempunyai pakej gabungan pelumba dan jentera terbaik dalam kedua-dua kategori. Jadi, kami berharap dapat meraikan sesuatu di Jempol," rumus Yong.