Di kala sukan permotoran dunia teruja dengan pembukaan MotoGP di Sepanyol, Litar Antarabangsa Sepang (SIC) berhadapan misi hidup mati untuk mendapatkan kelulusan prosedur operasi standard (SOP) sebelum 31 Julai depan.

Ia merupakan langkah awal yang cukup penting untuk dibentangkan kepada badan bertanggungjawab bagi penganjuran sukan permotoran.

"Kami masih dalam proses perbincangan dengan pihak yang berkenaan sebelum dapat memutuskan sama ada Kejohanan MotoGP Malaysia dianjurkan hujung tahun ini menjelang 31 Julai depan," kata Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif, ketika dihubungi wartawan Nadi Arena, Muiz Aziz.

Selamat berlepas ke Portugal ahli ZK Racing. Moga memperolehi keputusan yang baik untuk perlumbaan pertama FIM CEV...

Posted by MotoGP Malaysia on Monday, June 29, 2020


Setakat ini, SIC bekerjasama dengan Persatuan Sukan Permotoran Malaysia (MAM) telah menghantar cadangan bertulis serta video mengenai SOP mereka dan dikhabarkan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, bakal berkunjung ke SIC untuk memantau pelaksanaan SOP itu.

Disebabkan beberapa penambahbaikan serta pembaharuan dalam cadangan-cadangan yang dibentangkan kepada badan bertanggunjawab, ia antara punca kelulusan penganjuran sukan permotoran mengambil masa yang agak lama.

"Apa yang saya bimbangkan ialah nasib pekerja dalam industri ini, ada dalam kalangan mereka yang sudah bercucu.

"Bayangkan mereka yang terdiri daripada mekanik dan kakitangan bahagian yang lain perlu 'cari makan'.

"Saya harap perkara ini boleh dipercepatkan berdasarkan SOP yang dicadangkan, ia sangat bagus.

"Walaupun perlumbaan perlu diadakan tanpa penonton, ia dapat membantu pemotoran di negara kita," kata Prinsipal Pasukan Onexox TKKR Racing, Bobby Farid Shamsudin.