Pelumba Boon Siew Honda Racing Team, Mohd Zaqhwan Zaidi, dinobatkan juara dalam perlumbaan pembuka tirai Kejohanan Superbike Malaysia (MSBK) 2020 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), sebentar tadi.

Pelumba profesional dari Selangor itu mengungguli Perlumbaan 1 bagi kategori MSBK1000 berkenaan dengan catatan masa 2’09,130 saat.

Dari mula hingga akhir perlumbaan, Zaqhwan memecut dan mengekalkan kedudukannya sebagai pendahulu.

Menurutnya: "Saya berasa sangat gembira kerana selepas hampir sembilan bulan tidak beraksi di litar, akhirnya saya kembali untuk MSBK setelah dibawa oleh pasukan Boon Siew Honda.

"Secara peribadinya, saya bangga kerana dapat mengekalkan prestasi dan rentak untuk beraksi dengan lebih baik.

"Menjelang perlumbaan esok, saya akan melakukan yang terbaik kerana MSBK merupakan pelantar sukan dua roda tempatan yang bertaraf elit."

Juara bertahan MSBK1000 2019, Farid Badrul, daripada Horizon Racing Team menamatkan perlumbaan di tempat kedua dengan catatan 2’09.329s sementara pelumba MME Racing Team Malaysia, Daniel Haiqal, di tempat ketiga (2’11.317s).

Round 1/Race 1 of the 2020 Malaysia Superbike Championship is kicking off with Zaqhwan Zaidi on pole for the MSBK1000,...

Posted by Asia Road Racing Championship on Friday, September 25, 2020


Sementara itu, Mohd Ibrahim Mohd Norrodin daripada SIC Racing Team (SRT) muncul juara bagi kategori MSBK600.

Menggunakan jentera lumba Yamaha R6, kelajuan Ibrahim sukar digugat pencabar terdekat, penunggang Boon Siew Honda Racing Team, Azroy Hakeem, di tempat kedua manakala Helmi Azman daripada Hi-Rev SCK Honda Racing Team pula melengkapkan podium.

"Saya cuba sebaik mungkin untuk mengekalkan posisi apabila berlumba dengan MSBK1000. Ini merupakan pengalaman baru buat saya.

"Akhir sekali, saya ingin berterima kasih kepada rakan pasukan kerana mereka telah melakukan yang persiapan yang terbaik pada hari ini," katanya.

Mohd Idlan (Boon Siew Honda Racing Team) dinobatkan sebagai juara untuk MSBK250 dengan catatan 2’30.909s disusuli pelumba SIC Racing Team, Mohd Danial Syahmi dan Mohd Izam Ikmal.