Kejohanan Rali Malaysia (MRC) berakhir di Taman Endurance Antarabangsa Terengganu (TIEP), kelmarin, dengan laluan pesisir pantai menguji pemandu tempatan dan luar negara.

Walaupun diganggu faktor cuaca, ia tetap dianggap berjaya untuk mendorong Persatuan Automobil Malaysia (AAM) memasukkan perlumbaan itu dalam kalendar MRC tahun depan.

Koordinator Kejohanan, Mohd Kurnia Abdol Sakor, tidak menolak untuk kembali ke TIEP selepas mendapat perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Begitupun, pelaksanaannya perlu diteliti kerana sukan kuda lasak -- antaranya kejohanan Piala Sultan Mizan dan Piala Raja Muda Terengganu -- turut diadakan setiap tahun di situ.

"Tuanku sangat gembira dengan penganjuran sukan rali di sini, mungkin ada perkara baru akan diumumkan pihak penganjur," jelasnya.

Sambutan memberangsangkan, khususnya daripada pemandu tempatan, turut menjadi tarikan, dengan penyertaan terbanyak direkodkan dalam tiga siri perlumbaan tahun ini.

Tidak sampai 10 penyertaan pada 2016, jumlah itu semakin meningkat dengan 56 pemandu memulakan perlumbaan di TIEP, termasuk dari Jepun dan Indonesia.

"Pemandu tempatan terlampau ramai kerana mereka mula menyukai sukan rali.

'Diharapkan jumlah penyertaan akan meningkat lagi," tambahnya.