Pembatalan saingan MotoGP Malaysia 2020 membuatkan Zulfahmi Khairuddin mengimbau kembali memori manis lapan tahun lalu.

Berdasarkan prestasi semasa barisan pelumba negara, tidak mustahil penggantinya mampu digilap sekali gus mengatasi rekod reputasinya selaku pelumba Malaysia terbaik di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Ketika itu, dia menamatkan saingan Moto3 di belakang juara, Sandro Cortese.

"Sudah tentu saya sangat berbangga dengan prestasi saya ketika itu.

"Bukan mudah untuk beraksi dalam MotoGP sebab banyak perkara yang perlu diharungi. Contohnya tekanan daripada penaja dan sokongan peminat-peminat di Malaysia.

"Tidak mustahil pelumba negara mampu beraksi dalam MotoGP dan ketika era saya pula, ia merupakan masa yang sesuai buat saya.

"Saya betul-betul fokus dan semua kakitangan pasukan begitu sempurna.

"Saya gembira dengan kedudukan yang saya raih pada 2012.

"Saya harap pelumba-pelumba negara dalam MotoGP ketika ini dan akan datang dapat memecah rekod saya," katanya ketika diwawancara wakil Nadi Arena, Syakirah Zulkifly.


Kalendar SIC Minigp Championship 2020 "Tarikh dan tempat telah disahkan!! Jom kita siap sedia untuk kejuaraan yang...

Posted by MotoGP Malaysia on Saturday, August 1, 2020


Kehadiran penonton di SIC dalam edisi tahun lalu yang menunjukkan peningkatan dan merupakan jumlah tertinggi yang direkodkan dalam penganjurannya di tanah air, secara tidak langsung meningkatkan semangat barisan pelumba tempatan.

Ia disusuli reaksi lebih ramai pengunjung yang ingin kembali ke SIC dalam edisi yang sepatutnya berlangsung pada 30 Oktober hingga 1 November depan.

"Pertama sekali, kami kecewa dengan penularan COVID-19 dan saya yakin ini adalah pilihan yang tepat kerana tidak menganjurkan MotoGP Malaysia pada tahun ini.

"MotoGP edisi 2018 dan 2019 paling mencuri tumpuan bagi sukan permotoran. Pengunjungnya mampu mencecah 160,000 peminat.

"SIC memberi kelebihan kepada pelumba tempatan kerana faktor litar, cuaca dan suasana di trek.

"Saya harap MotoGP dapat datang semula ke Malaysia pada tahun depan seperti sedia kala."