Maverick Vinales dinobatkan juara Grand Prix (GP) Australia yang menyaksikan Yamaha meraikan kemenangan pertama mereka sejak 2017 selepas juara dunia, Marc Marquez, terpaksa menarik diri akibat kemalangan, sebentar tadi.

Marquez, yang dinobat dengan gelaran kelima MotoGP minggu lalu, bermula di petak hadapan perlumbaan di Phillip Island tetapi aksi bintang Repsol Honda itu tidak bertahan lama apabila Vinales berjaya menamatkan kemarau kejuaraan dalam 26 percubaan Yamaha.

Juara bertahan tiga kali berturut-turut, Marquez, terpaksa menamatkan perlumbaannya selepas pusingan keenam berikutan perlanggaran dengan Johann Zarco daripada pasukan Yamaha.

Marquez baru saja melakar catatan pusingan terpantas di samping Andrea Dovizioso sebelum dia mendapati dirinya dalam masalah semasa Zarco kehilangan kawalan jenteranya lalu tergelincir.

Susulan daripada insiden itu, entah mengapa, pelumba Sepanyol, Marquez, memperlahankan motosikalnya sehingga tercicir di tangga tercorot sebelum memutuskan untuk menarik diri.

"Saya hanya berasa sangat bernasib baik kerana kedudukan saya sangat rapat dengan pelumba lain," kata Marquez.

"Saya tidak mahu merungut mengenai Johann kerana ia asam garam dalam perlumbaan ketika dia menghampiri penghujung jalan lurus. Dia mungkin hilang kawalan dalam tunggangannya kerana dihambat saya atau Jack, oleh itu sangat sukar untuk menghentikan motosikal.

"Perkara paling penting, kedua-dua penunggang terselamat. Nasib baik saya menjamin kejuaraan pada minggu lalu.

"Sekali lagi, saya gagal mengutip sebarang mata di Phillip Island, namun kali ini bukan kesilapan saya dan saya gembira bahawa kami berdua tidak dilanda masalah."

Situasi Marquez itu membuka ruang buat Vinales untuk mengetepikan Andrea Iannone daripada pasukan Suzuki dan pelumba Ducati, Dovizioso, untuk menghadiahkan Yamaha sesuatu untuk diraikan.

Pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah, yang menyambar petak ke-10 berputih mata selepas terbabas di pusingan ke-19.

Sementara itu, Khairul Idham Pawi terlepas mata dalam saingan Moto2 apabila menamatkan saingan di kedudukan ke-16 dalam perlumbaan penuh sengit yang diungguli Brad Binder dari Afrika Selatan.

Bagaimanapun, taruhan Petronas Sprinta Racing, Adam Norrodin, menceriakan peminat negara apabila meraih tempat ketujuh saingan Moto3.

Keputusan MotoGP:

1. Maverick Vinales (Movistar Yamaha)
2. Andrea Iannone (Suzuki Ecstar)
3. Andrea Dovizioso (Ducati)
4. Alvaro Bautista (Angel Nieto)
5. Alex Rins (Suzuki Ecstar)
6. Valentino Rossi (Movistar Yamaha)
7. Jack Miller (Alma Pramac Racing)
8. Franco Morbidelli (EG 0,0 Marc VDS)
9. Aleix Espargaro (Aprilia Racing Team Gresini)
10. Bradley Smith (Red Bull KTM Factory Racing)
11. Karel Abraham (Pasukan Angel Nieto)
12. Danilo Petrucci (Alma Pramac Racing)
13. Scott Redding (Aprilia Racing Team Gresini)
14. Takaaki Nakagami (LCR Honda)
15. Xavier Simeon (Reale Avintia Racing)