Maverick Vinales menganggap Jorge Lorenzo melakukan kesilapan budak mentah yang menyaksikan empat penunggang terkeluar daripada perlumbaan Grand Prix (GP) Catalunya, malam tadi.

Vinales, Andrea Dovizioso dan Valentino Rossi sedang rancak menghambat pendahulu MotoGP, Marc Marquez, dalam kelompok depan di Barcelona sambil Lorenzo berusaha untuk menyelit dalam pusingan kedua.

Aksi itu menyebabkan bintang Repsol Honda itu bergesel dengan Dovizioso sehingga memaksa Vinales dan Rossi terkeluar dari landasan, sekali gus mengakhiri perlumbaan mereka lalu menghantar rakan sepasukannya, Marquez, untuk melakar kemenangan selesa.

Vinales amat terkejut dengan kesilapan yang dilakukan Lorenzo itu memandangkan ia dilakukan oleh pelumba yang telah tiga kali menjuarai MotoGP dan dua kejuaraan Moto2.

"Saya nampaknya, saya cuba mengelak kemalangan tersebut tetapi salah satu motosikal pencabar telah menyentuh tayar belakang saya lalu membuatkan saya hilang kawalan," katanya. "Saya cuba mengelakkan kemalangan itu tetapi ia mustahil.

"Secara jujurnya, selekoh ini sentiasa sukar tapi ayuhlah, atasilah saya ketika di jalan lurus, jentera kami perlahan.

"Dia hanya perlu menunggu empat selekoh lagi sebelum boleh memotong kedudukan saya. Begitu juga ketika sesi memanaskan jentera, dia memotong saya tanpa alasan dan saya tidak memahaminya. Di Mugello pula, dia mencetuskan masalah dengan (Jack) Miller ketika pusingan memanaskan enjin.

"Jika anda bertanya kepada saya, kesilapan itu kelihatan seperti dilakukan oleh muka baru sedangkan dia adalah juara lima kali. Kadang-kadang apabila menunggang, kami perlu menggunakan otak.

"Walaupun dia seorang pelumba yang hebat dan berbakat besar, kemenangan tidak boleh dicapai dalam dua pusingan."

Vinales menganggap kejadian itu menjejaskan Dovizioso secara khususnya apabila terpaksa melepaskan 25 mata kepada Marquez -- ketinggalan 37 mata di belakang juara bertahan itu -- berikutan kegagalannya menamatkan perlumbaan.

"Kalau pelanggaran itu hanya membabitkan saya atau Valentino, maka ia tidaklah membabitkan kedudukan pendahulu kejuaraan," kata Vinales.

"Ia adalah asam garam dalam perlumbaan, tidaklah terlalu teruk.

"Begitupun, insiden itu turut membabitkan Dovizioso yang berjuang untuk merebut kejuaraan.

"Dia memusnahkan perlumbaan saya, Valentino dan menjejaskan kejuaraan yang diburu Dovizioso kerana 25 mata bukannya sedikit."