ONEXOX TKKR membuat keputusan drastik untuk menarik diri daripada usaha sama mereka dengan pasukan Sepanyol, Stop and Go (SAG), dalam saingan Moto2 musim 2021.

Ia susulan perbincangan meragukan membabitkan pasukan dari Indonesia, Mandalika Racing Team, yang dikatakan turut membuat usaha sama dengan SAG dan akan mengambil alih kedudukan TKKR musim depan.

Bagaimanapun, kedudukan pelumba negara, Kasma Daniel Kasmayudin, berkemungkinan besar tidak akan terjejas memandangkan kontraknya masih berbaki semusim lagi.

Perkara itu disahkan oleh Prinsipal Pasukan ONEXOX TKKR, Bobbie Farid Shamsuddin, ketika dihubungi Nadi Arena hari ini.

"Kami memilih untuk menarik diri daripada kejuaraan musim depan dan fokus kembali kepada perancangan kami dalam CEV.

"Kami harus membuat strategi baru. Kami akan terus berada dalam industri, iaitu dalam Cub Prix Malaysia, Siri Superbike Malaysia (MSS) dan Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC).

"Kami akan melakukan perancangan baru demi menyantuni peminat dan penyokong yang mahukan pelumba, mekanik dan kru Malaysia bersaing di peringkat dunia.

"Jadi kami perlu melakukan perancangan semula dan dengan ini, saya mengambil keputusan untuk menarik diri daripada saingan Moto2 musim depan," katanya.