MotoGP: Tiga pelumba negara perlu mohon pengecualian khas

Oleh Muzaffar Musa 14 Jun 2020 311
MotoGP: Tiga pelumba negara perlu mohon pengecualian khas
Hasrat tiga pelumba negara untuk menyertai saingan pembukaan Kejuaraan Dunia MotoGP di Jerez, Sepanyol bulan depan masih tidak menentu memandangkan Kerajaan Malaysia masih menutup setiap pintu sempadan antarabangsa.

Kerajaan hanya akan memberikan pengecualian khas kepada individu yang menghantar permohonan melalui Jabatan Imigresen Malaysia.

Justeru, tiga pelumba berkenaan, iaitu Hafiz Syahrin Abdullah, Khairul Idham Pawi dan Kasma Daniel Kasmayudin, perlu menghantar permohonan melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) andai mahu ke Sepanyol.

Dalam sidang media harian hari ini, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata: "Pintu sempadan kita masih ditutup buat kesemua rakyat yang mahu ke luar (negara) atau kepada warga asing yang mahu masuk ke negara kita.

"Tetapi ada keadaan-keadaan tertentu di mana ia boleh dibenarkan dengan kebenaran daripada Jabatan Imigresen Malaysia.

"Untuk ahli sukan ini, kami belum menerima apa-apa permohonan daripada Kementerian Belia dan Sukan.

"Insya-Allah, jika ada permohonan, kami akan melihat perkara ini," katanya.

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen