MotoGP: Super KIP dibenar berlepas ke Sepanyol

Oleh Bernama 7 Julai 2020 104
MotoGP: Super KIP dibenar berlepas ke Sepanyol
Pelumba Moto3 negara, Khairul Idham Pawi, dibenarkan berlepas ke Sepanyol untuk beraksi dalam Kejuaraan Grand Prix Motosikal Dunia (MotoGP) selepas perjalanannya sebelum ini ‘tersekat’ susulan peraturan baru Kesatuan Eropah (EU).

Khairul Idham, yang terkenal dengan jolokan Super KIP, berlepas awal pagi tadi selepas diberikan pengecualian dan kebenaran memasuki Sepanyol menjelang perlumbaan GP Sepanyol di Litar Jerez pada 17 hingga 19 Julai ini.

"Saya sangat gembira dan bersyukur sebab sudah dua kali datang ke lapangan terbang,tetapi hari ini baru saya boleh terbang. 

"Terima kasih kepada pihak KBS (Kementerian Belia dan Sukan), Imigresen, MKN (Majlis Keselamatan Negara) dan pihak terlibat dalam memudahkan perjalanan keluar dan masuk," kata pelumba pasukan Petronas Sprinta Racing itu dalam satu kenyataan hari ini.

Pelumba berusia 21 tahun itu dijadualkan berlepas ke Sepanyol pada Jumaat lalu, namun terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) susulan peraturan baru EU yang hanya membenarkan warga dari 15 negara memasuki kesatuan itu dan Malaysia tidak termasuk dalam senarai berkenaan. 

Selain Khairul Idham, wakil Malaysia yang akan menyertai saingan GP Sepanyol ialah Hafizh Syahrin Abdullah (Aspar Team) dan Kasma Daniel Kasmayudin (ONEXOX TKKR SAG Team) masing-masing dalam kelas Moto2.

"Saya cuba melakukan yang terbaik untuk negara dan kepada semua rakyat Malaysia.  Jangan lupa sokong saya dan pelumba negara yang lain," tambah Khairul Idham, yang kembali bersaing dalam kelas Moto3 musim ini selepas tiga musim dalam kelas Moto2.

Kejuaraan MotoGP musim ini ditangguhkan sejak Mac lalu -- perlumbaan pembukaan di Qatar ditangguhkan akibat penularan pandemik COVID-19.

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen