Kesepakatan Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT) untuk mendapatkan khidmat legenda MotoGP, Valentino Rossi, memerlukan lebih banyak masa sebelum boleh dimuktamadkan.

Keputusan sama ada The Doctor akan menyertai SRT atau tidak dijangka diketahui sebaik berakhir dua pusingan perlumbaan berikutnya, iaitu di Litar Misano, Itali, bulan depan.

"Status mengenai Rossi agak rumit sedikit, bukan mudah untuk kami selesaikan perjanjian kami tetapi kami mesti tetapkan satu tarikh, iaitu di antara dua pusingan perlumbaan di Misano.

"Ada banyak perkara yang perlu dipersetujui kedua-dua pihak, misalnya membabitkan kakitangan teknikal, jentera dengan Yamaha dan hak pemasaran.

"Rossi merupakan pelumba yang luar biasa, mempunyai ramai peminat dan jenama yang amat berharga.

"Jadi kami perlu memahami apa yang boleh ditawarkannya dan tidak boleh, ia mengambil masa yang lama sikit. Lagipun kami hanya dapat berbincang di tempat perlumbaan sahaja," kata Prinsipal SRT, Datuk Razlan Razali, ketika ditemu bual secara maya wartawan Nadi Arena, Haliza Hamzah.

Dalam masa sama, pasukan itu cuba mengatasi kepincangan yang dihadapi mereka susulan prestasi merudum taruhan mereka. Fabio Quatrararo dan Franco Morbidelli, berbanding kempen awal musim yang menyaksikan Quatrararo mengungguli dua perlumbaan.

"Agak sukar untuk jentera Yamaha bersaing di trek lurus yang panjang seperti di Brno (Republik Czech) dan Austria.

"Yamaha agak kurang laju jika dibandingkan dengan Ducati, Honda dan sekarang KTM serta Suzuki.

"Walaupun kami jangka akan bergelut tetapi bukan soal prestasi merosot.

"Bagaimanapun, kami meraih kedudukan kedua podium di Brno melalui Morbidelli tetapi Quartararo pula menghadapi masalah seperti brek termasuk di Austria.

"Kemalangan dalam perlumbaan pertama di Austria juga mungkin menyebabkan Morbidelli berasa agak kurang selesa dalam aksi seterusnya selain kombinasi masalah brek, tayar dan kekuatan jentera yang tidak mencukupi."