MotoGP: SOP ketat perlumbaan di Litar Jerez

Oleh Bernama 13 Julai 2020 118
MotoGP: SOP ketat perlumbaan di Litar Jerez
Setiap ahli dalam pasukan MotoGP perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat apabila kejuaraan perlumbaan kelas utama dua roda itu disambung semula di Litar Jerez, Sepanyol, hujung minggu ini.

Langkah itu penting untuk mengekang penyebaran pandemik COVID-19 yang menjadi ancaman seluruh dunia, kata Presiden Persekutuan Motosikal Antarabangsa (FIM), Jorge Viegas; Presiden Persatuan Pasukan Perlumbaan Jalan Raya Antarabangsa (IRTA), Herve Poncharal; dan Ketua Pegawai Eksekutif Dorna Sports, Carmelo Ezpeleta, dalam satu kenyataan bersama semalam. 

Kejohanan Grand Prix (GP) Motosikal Dunia 2020 telah ditangguhkan sejak Mac lalu dan akan disambung semula hujung minggu ini di Litar Jerez, bermula dengan sesi ujian Khamis ini diikuti sesi latihan rasmi serta sesi kelayakan, dua hari kemudian, sebelum perlumbaan sebenar pada Ahad.

"Kami harus mengambil kesempatan ini untuk memberi peringatan kepada semua tentang kepentingan langkah-langkah keselamatan dan prosedur perubatan yang memungkinkan kami semua kembali ke litar.

"Sebelum tiba di Litar Jerez-Angel Nieto, kami telah mengingatkan kepada semua pihak bahawa selepas mereka diuji, setiap ahli 'paddock' harus melakukan kawalan kendiri sebanyak mungkin dan mengelakkan hubungan yang tidak perlu dengan orang lain sehinggalah sesi di litar,” menurut kenyataan itu.

Perlumbaan hujung minggu ini akan diadakan dengan pendekatan kebiasaan baru menerusi protokol perubatan lebih komprehensif yang akan diperkenalkan bagi memastikan semua pihak yang hadir dalam perlumbaan itu akan mematuhi standard keselamatan tertinggi yang ditetapkan oleh FIM, IRTA dan Dorna Sports.

"Adalah penting bahawa semua peraturan mengasingkan diri dipatuhi dengan ketat dan semua peserta hanya boleh pergi ke litar dan hotel sahaja. 

"Kami akan kehilangan ramai ahli paddock dan kami berterima kasih atas usaha mereka yang bekerja dari jauh dan kami juga buat masa ini akan kehilangan peminat kami di grandstands," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu juga menyebut bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap sesiapa sahaja yang didapati melanggar protokol perubatan di dalam dan luar litar.

"Sebarang pelanggaran protokol perubatan akan diambil serius dan tindakan segera akan diambil oleh pihak penganjur," kata kenyataan itu.

Perlumbaan  Grand Prix Sepanyol hujung minggu ini turut melibatkan pasukan MotoGP negara, Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT) dan tiga pelumba negara iaitu Hafizh Syahrin Abdullah (Aspar Team) dan Kasma Daniel Kasmayudin (ONEXOX TKKR SAG Team) dalam kelas Moto2 serta Khairul Idham Pawi (Petronas Sprinta Racing) dalam kelas Moto3.

-- BERNAMA

 

Tentang Penulis

Bernama

Komen